Peratusan kes sporadik di Sabah makin meningkat


Kes sporadik biasa berlaku kerana kelalaian tidak mematuhi SOP semasa bergaul atau berada di khalayak ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2021.

PERATUSAN kes sporadik Covid-19 di Sabah semakin meningkat iaitu hampir 39% daripada 639 kes keseluruhan yang dicatatkan hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Masidi, yang juga jurucakap Covid-19 Sabah, berkata dikhuatiri peralihan negeri itu ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Isnin ini yang membenarkan lebih banyak aktiviti sosial dan ekonomi akan meningkatkan risiko jangkitan secara sporadik.

“Kes sporadik biasanya berlaku kerana kelalaian tidak mematuhi SOP semasa bergaul atau berada di khalayak ramai.

“Adalah amat diharapkan masyarakat akan lebih bertanggungjawab dalam mematuhi semua SOP yang berkuat kuasa bagi mengelak jangkitan virus Covid-19,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, menerusi pembukaan semula sempadan daerah dan peralihan Sabah ke Fasa 3 PPN, setiap individu kini bertanggungjawab sebagai benteng barisan hadapan dalam usaha membanteras virus Covid-19.

Masidi juga berkata, jumlah kes baharu yang didaftar hari ini menunjukkan penurunan sebanyak 81 kes berbanding 720 semalam.

Beliau berkata, daripada 639 kes baharu, sebanyak 350 atau 55% adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam lalu manakala selebihnya kes lewat didaftar sekurang-kurangnya dua hari selepas keputusan saringan diketahui.

“Keberkesanan pengambilan vaksin dapat dilihat daripada kategori pesakit yang dilaporkan setiap hari. Mereka yang divaksin (lengkap) memiliki imuniti lebih tinggi dan kalau pun dijangkiti hanya akan berada dalam kategori pesakit 1 dan 2,” katanya. – Bernama, 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen