PAS akan bertanding jika PRN Melaka diadakan, kata Takiyuddin


PAS menubuhkan jawatankuasa induk bagi PRN Melaka dipengerusikan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, kata Takiyuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2021.

PAS akan meletakkan calonnya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri itu, kata Setiausaha Agung parti Takiyuddin Hassan.

Beliau bagaimanapun berkata, parti itu belum membuat keputusan mengenai nama calon dan bilangan kerusi yang akan ditandingi.

Katanya, pihaknya menubuhkan jawatankuasa induk bagi PRN Melaka yang dipengerusikan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Memang menjadi hasrat PAS untuk bertanding tetapi mengenai calon dan berapa kerusi, termasuk konsep yang akan digunakan, ia belum diputuskan lagi tetapi kita memang akan ambil bahagian.

“Kita juga mengharapkan pelaksanaan PRN Melaka nanti akan berteraskan muafakat sebagaimana di peringkat persekutuan. Semua parti bersatu tidak ada pertembungan antara satu sama lain.

“Kita akan bersama dengan semua parti yang bersama dengan kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung PAS kawasan Kota Bharu kali ke-54 hari ini.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PAS bertanding di 23 daripada 28 kerusi DUN secara solo di Melaka.

“Walaupun kita tidak menang tetapi ia menunjukkan prestasi baik di beberapa kerusi,” katanya.

DUN Melaka terbubar pada 4 Oktober selepas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang sokongan, susulan tindakan empat Adun daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinannya.

Empat Adun yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman adalah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – Bernama, 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen