Putrajaya digesa peruntuk RM5 bilion bantu sektor pelancongan


Khoo Gek San

Pengusaha sektor pelancongan memerlukan dana untuk memulakan semula perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2021.

AKTIVITI pelancongan di negara ini kembali beroperasi selepas hampir dua tahun ditutup, namun pengusaha bergelut untuk memulakan semula kerana kekurangan dana, kata pemain industri. 

Mereka menggesa kerajaan untuk memperuntukkan RM5 bilion bagi membantu pengusaha untuk kembali meneruskan perniagaan mereka kerana ramai yang kehabisan dana selepas tidak menjana pendapatan dalam tempoh yang panjang. 

Setiausaha Agung Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Nigel Wong berkata perstauan itu berharap Putrajaya akan memperuntukkan RM5 bilion kepada sektor pelancongan bagi membantu mereka memulakan semula dan kekal kompetitif dengan negara jiran. 

“MATTA meminta agar dana khas, bebas dari sistem perbankan, disediakan kepada pengusaha pelancongan yang kini mengalami kesulitan untuk mendapatkan bantuan kewangan dari institusi kewangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Dana ini harus lebih longgar dan syarat pembayaran yang lebih baik dan fleksibel.”

RM5 bilion juga merupakan jumlah yang kecil berbanding dengan sumbangan sektor pelancongan kepada KDNK negara, tambahnya.

Wong berkata, dana tersebut bukan sahaja akan memudahkan pembukaan semula pelancongan domestik tetapi juga membantu mereka bersedia untuk menerima kedatangan pelancong antarabangsa.

Bantuan lain 

Putrajaya memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pelancongan, di bawah pakej ekonomi Penjana.

Pembiayaan maksimum yang diperuntukkan kepada setiap PKS adalah RM300,000 sementara perusahaan mikro menerima pembiayaan hingga RM75,000 dengan kadar faedah tidak melebihi 3,5% untuk tempoh pembiayaan selama tujuh tahun.

Ini bagaimanapun diperkenalkan pada Ogos tahun lalu. 

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia Albert Tan berkata sejak itu, pengusaha pelancongan tidak mempunyai pendapatan selama lebih setahun. 

Beliau berharap kerajaan dapat memperkenalkan pakej serupa dan memberi pinjaman RM300,000 kepada agensi pelancongan untuk mulakan semula.

“Untuk agensi yang lebih besar, peruntukan RM500,000 hingga RM1 juta dapat dipertimbangkan. Selepas pembukaan semula industri ini, kita dapat mengambil pekerja asal kita, membayar sewa dan banyak lagi. “

Selepas setahun tanpa pendapatan, pinjaman bernilai RM300,000 sekurang-kurangnya dapat membantu pengusaha menanggung kos pembukaan semula, katanya.

Sektor pelancongan dijangka akan pulih selepas perjalanan rentas negeri dan perjalanan antarabangsa dibenarkan di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2021.

Katanya, tempoh penangguhan enam bulan juga harus diberikan untuk membolehkan pengusaha membayar balik pinjaman setelah mereka mula memperoleh keuntungan.

Oleh kerana hanya pelancongan domestik yang dibenarkan ketika ini, Tan berkata pengusaha yang bergantung kepada pelancong antarabangsa harus diberi penangguhan ini sebelum membayar pinjaman kerana mereka tidak akan memperoleh pendapatan sebanyak yang mereka biasa terima.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata kebanyakan ejen pelancongan perlu bermula dengan modal kecil sekurang-kurangnya RM20,000. 

Beliau berkata sukar untuk pengusaha pelancongan mendapatkan pinjaman bank kerana sektor ini dianggap berisiko tinggi berikutan pandemik. Oleh itu, kerajaan perlu memberi bantuan secara langsung.

“Kami berharap kerajaan dapat menubuhkan Bank Pelancongan, seperti Agro Bank yang menyediakan pinjaman untuk petani. Bank yang berdedikasi yang memahami beban industri dapat membantu mempercepat kelulusan pinjaman. “

Uzaidi berkata syarikat sewa kereta misalnya, terpaksa menjual kenderaan mereka untuk menampung aliran tunai.

Kini setelah sektor pelancongan dibenarkan beroperasi, pengusaha pelancongan perlu membeli kenderaan baru, menggaji pekerja, menyewa pejabat dan membayar utiliti, katanya.

Pemulihan akan menjadi perlahan bagi sektor pelancongan tetapi semuanya mulai meningkat.

Sejak 10 Oktober ketika larangan perjalanan rentas negeri dibatalkan, dan dengan kadar vaksinasi penduduk dewasa sekarang lebih dari 90%, pemesanan bilik hotel dan penginapan semakin baik.

Presiden Malaysia Inbound Chinese Association (MICA), Angie Ng berkata agensi pelancongan telah menyediakan lebih 1,000 bilik hotel dan 2,000 tiket untuk menarik pelancong.

Sebagai pendekatan baru untuk membuat jualan dalam pandemik, ahli persatuan mulai berkolaborasi dengan platform e-commerce Shopee untuk mempromosikan pakej perjalanan. Lebih daripada 10,000 pakej diambil sebelum perjalanan rentas negeri dibenarkan.

Lokasi tarikan pelancong paling popular adalah Ipoh dan Pulau Pinang. 

“Masa depan pelancongan adalah bersama kewujudan virus yang mana ujian saringan Covid-19 sebelum melakukan perjalanan kini menjadi sebhagaian daripada industri,” katanya.– 16 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen