Tiada kertas siasatan dibuka atas tuduhan curi wang Tabung Haji, kata Ahmad Marzuk


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata ini termasuk dakwaan, kononnya siasatan dibuat terhadap Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim yang merupakan Pengerusi LTH sekitar 2013 sehingga 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2021.

TIADA sebarang kertas siasatan dibuka terhadap mana-mana pihak atas tuduhan mencuri wang Lembaga Tabung Haji (LTH) yang didakwa melibatkan pengurusan tertinggi lembaga itu setakat ini, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata ini termasuk dakwaan, kononnya siasatan dibuat terhadap Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim yang merupakan Pengerusi LTH sekitar 2013 sehingga 2018.

Ahmad Marzuk berkata demikian pada sesi soal jawab lisan bagi soalan tambahan Abdul Azeez yang mahu pengesahan dibuat selepas perkara itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan pendeposit sehingga menyebabkan hampir 520,000 akaun ditutup pada 2018.

Menjawab soalan asal Abdul Azeez mengenai status penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai LTH, Ahmad Marzuk berkata ketika ini Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi membincangkan operasi perlaksanaan RCI ini telah disediakan dan diedarkan bagi Jemaah Menteri.

“Ini adalah meliputi perkara seperti keahlian RCI serta aspek-aspek pengoperasian pentadbiran dan logistik melibatkan pengurusan RCI,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa mesyuarat Kabinet sebelum ini turut memutuskan bahawa urusan RCI ini akan diurus selia oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan dalam masa terdekat akan diputuskan terma dan syarat bagi RCI tersebut. – Bernama, 27 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen