Kerajaan fokus merancakkan pertumbuhan ekonomi - Utusan Malaysia

Kerajaan fokus merancakkan pertumbuhan ekonomi

poster RMK-12
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, kerajan akan menumpukan usaha dalam pelbagai aspek menyentuh sektor perkhidmatan, pembuatan, pertanian, pembinaan dan perlombongan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam hal ini, kerajaan akan mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.

“Pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi, iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan. Transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan diperkasa.

“Pertumbuhan sektor perkhidmatan akan disokong oleh strategi pemodenan sektor untuk menjadi hab perkhidmatan serantau. Dalam hal ini, dasar dan perundangan yang jelas serta persekitaran perniagaan yang kondusif akan diwujudkan bagi menggalakkan lagi pelaburan yang berkualiti. Selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat atau dikenali sebagai Fourth IR (4IR), sektor pembuatan dijangka beralih kepada pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan industri Malaysia menjadi pemain penting dalam rantaian nilai global.

“Sektor pertanian akan dipergiat dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara. Sektor pembinaan akan dirancakkan dengan penggunaan teknologi termaju, merangkumi realiti terimbuh (augmented reality) dan realiti maya (virtual reality) sejajar dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 bagi meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti. Sektor perlombongan pula akan memberi penekanan kepada pengeluaran mineral diproses yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, aktiviti perlombongan yang lestari dan penghasilan bahan mineral baharu,” katanya.

Bagi pertumbuhan produktiviti, jelas Ismail lagi, ia akan dilonjakkan melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi, penggunaan teknologi termaju, di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh kurang mahir.

“Perdagangan antarabangsa akan diperkukuh dengan mengenal pasti pasaran dan produk baharu, menambah baik kecekapan fasilitasi perdagangan dan meningkatkan daya saing industri eksport utama. Selain itu, kerjasama perdagangan akan digalakkan melalui ratifikasi perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu seperti Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP),” ujarnya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya