Kerajaan bantu PMKS, setuju laksana projek lonjakkan pertumbuhan sektor - Utusan Malaysia

Kerajaan bantu PMKS, setuju laksana projek lonjakkan pertumbuhan sektor

poster RMK-12
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited menyokong pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menggalakkan untuk meneruskan agenda tranformasi digital bagi memacu pertumbuhan dalam norma baharu pasca pandemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam hal ini, kerajaan telah bersetuju meluluskan beberapa program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik.

“PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. Pada akhir tahun 2020, bilangan PMKS dianggarkan hampir 1.2 juta, bersamaan dengan 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan. Namun, sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasa semula setelah terjejas akibat pandemik,” ujarnya lagi.

“Dengan terlaksananya beberapa perancangan ini, saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMKe-12.

“Sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik dijangka akan pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8 peratus. PMKS pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK, dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada tahun 2025,” katanya lagi.

Tambah Ismail Sabri lagi, antara usaha tersebut ialah dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik; penubuhan Centre of Excellence for Future Industry; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkata, kerajaan mahu melihat sektor swasta kembali memainkan peranan lebih besar bagi membantu negara memacu pertumbuhan ekonomi.

“Sehubungan ini, saya memberi jaminan bahawa Kerajaan akan mengurangkan kerenah birokrasi, menyediakan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya harap, memperkukuh ekosistem bagi menyokong pelaburan swasta dan membangunkan tenaga kerja mahir,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) akan dijadikan kerangka utama bagi menarik pelaburan berkualiti, dan meletakkan Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini.

“Insentif sedia ada akan disemak semula untuk memberi fokus kepada pelaburan yang berasaskan teknologi termaju dan memenuhi aspek kelestarian alam sekitar. Ini akan dapat menyokong hasrat negara untuk mempercepat peralihan kepada industri berteraskan pembuatan termaju, atau advanced manufacturing tanpa menjejaskan alam sekitar,” ujarnya. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya