Indeks Harga Pengguna meningkat 2.0 peratus - Utusan Malaysia

Indeks Harga Pengguna meningkat 2.0 peratus

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan peningkatan 2.0 peratus padaOgos lepas kepada 122.5 berbanding 120.1 pada bulan  sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, IHP kekal positif untuk bulan ketujuh berturut-turut sejak Februari disebabkan kesan asas yang rendah pada tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu juga didorong terutamanya oleh kenaikan dua digit dalam kumpulan Pengangkutan iaitu 11.0 peratus berikutan penetapan harga siling petrol RON95 kepada RM2.05 seliter bermula Mac 2021 berbanding harga purata RM1.68 pada Ogos 2020.

“Ini diikuti oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (1.2 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.7 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos menunjukkan peningkatan 2.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Bagi perbandingan bulanan, IHP kekal tidak berubah berbanding Julai 2021.

“Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain masing-masing meningkat 0.1 peratus, namun diimbangi dengan penurunan bagi pengangkutan (-0.1 peratus) serta pendidikan (-0.1 peratus).

“Penetapan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol oleh kerajaan berkuat kuasa 1 Ogos lepas juga sedikit sebanyak meredakan inflasi bagi subkumpulan minyak dan lemak kepada negatif 0.4 peratus daripada 0.2 peratus pada Julai,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Uzir berkata, IHP tanpa bahan api meningkat 0.5 peratus pada Ogos lepas kepada 113.2 berbanding 112.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel,” katanya.

Tambah beliau, Indeks teras juga meningkat 0.6 peratus pada Ogos lalu berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus), pengangkutan (0.7 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.7 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6 peratus), restoran dan hotel (0.6 peratus) dan kesihatan (0.3 peratus).” katanya.

Katanya, indeks teras meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali item makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal.

Bagi IHP mengikut negeri pula, beliau berkata, enam negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 2.0 pada Ogos lalu berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Terengganu (2.6 peratus), Sarawak (2.4 peratus), Pahang (2.4 peratus), Kelantan (2.4 peratus), Perak (2.1 peratus) dan Kedah, Perlis (2.1 peratus).

Ujarnya, kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.8 peratus), diikuti Kelantan (1.4 peratus) dan Pahang (1.3 peratus).

“Negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 1.2 peratus pada Ogos lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya