Cruella, si penjahat berbusana sofistikated - Utusan Malaysia

Cruella, si penjahat berbusana sofistikated

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bagi mereka yang pernah menonton filem animasi 101 Dalmations pasti agak skeptikal dengan penghasilan filem versi aksi sebenar terbitan Disney yang diberi nafas lebih gelap berjudul Cruella.

Tidak dinafikan, ramai meletakkan harapan tinggi kerana satu daripada faktor utamanya kerana watak Estella atau Cruella De Vil dimainkan oleh aktres bertaraf pemenang Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Academy 2017, Emma Stones.

Mempunyai latar belakang yang prolifik, Emma tentunya menjadi tumpuan kerana sebagaimana yang diketahui, Cruella De Vil adalah satu watak yang sarat dengan sisi antagonis dengan paparan imej yang ekstravaganza.

Dia adalah gambaran seorang wanita yang kuat memberontak dan dahagakan fesyen unik sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan selera fesyennya.

Menerusi filem ini, Disney membawa penonton kembali dalam sorotan latar belakang Cruella De Vil sewaktu remaja yang mencetuskan permulaan bagaimana jahatnya wanita berambut ikonik, hitam dan putih ini.

Jalan cerita menjadi semakin menarik kerana menerusi pelbagai rintangan pengalaman dan dramatiknya perjalanan hidup Estella sehingga menyebabkan dia berubah menjadi seorang yang berbeza.

Lakonan Emma tidak perlu dipertikaikan lagi kerana selayak kedudukannya, dia telah berjaya membuatkan penonton percaya bahawa dirinya sejahat itu.

Pun begitu, satu daripada elemen penting yang menjadi ciri utama dalam filem ini adalah bagaimana seorang penjahat diterjemahkan dalam sisi cantik dan berani berfesyen.

Sepanjang penceritaan, penonton dapat menyaksikan busana-busana yang memukau digayakan oleh Emma dalam filem ini bagi menonjolkan kelantangan Cruella.

Difahamkan, untuk filem ini sahaja, Emma telah menggayakan sebanyak 47 pasang busana unik dengan keunikan fesyen tersendiri setiap satunya.

Tentu bukan mudah kerana setiap busana itu memiliki ciri dan ‘cerita’ tersendiri selain tinggi pentafsirannya buat mereka yang mendalami ilmu fesyen.

Antara koleksi yang boleh dilihat digayakan Emma dalam filem ini termasuk daripada Dior, Vivienne Westwood serta Alexander McQueen yang terkenal seantero dunia.

Terpegun mata saat menatap setiap koleksi busana mewah dan unik yang dipaparkan dalam filem arahan Craig Gillespie ini yang bijak bermain dengan momentum emosi dan tahu di mana bahagian penting untuk diletakkan agar penonton tidak cepat bosan sepanjang penceritaan.

Jika anda mahu menonton sebuah filem dengan penekanan fesyen penuh kejutan dan sofistikated, ini adalah naskah terbaik yang disajikan daripada Disney.

Usah bimbang terlepas menonton kerana Disney Plus Hotstar menyediakan platform mudah untuk anda saksikan aksi Cruella ini yang juga sesuai ditonton bersama keluarga.

Selain Emma, filem ini turut dibintangi oleh Emily Beecham, Kirby Howell-Baptise, Joel Fry, Mark Strong, John McCrea, Paul Walter Hauser, Niamh Lynch, Linette Beaumont, Jamie Demetriou, dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya