Pegawai ATM didakwa terima rasuah RM2,500


SEORANG pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Leftenan Kolonel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2,500 bagi urusan kerja-kerja di Kem Paya Jaras, Sungai Buloh, tahun lalu.

Tertuduh Shafizan Amin, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Shafizan yang berjawatan sebagai Penolong Pegawai Memerintah di Rejimen Perhubungan Strategik, Kem Paya Jaras, Sungai Buloh, telah menerima wang berjumlah RM2,500 melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Rosaida Yaacob.

Wang tersebut diterima secara berperingkat daripada Mohd Hazizy Mohd Nor, iaitu pemilik syarikat Essential Operation Solution bagi kerja-kerja di kem tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Putra Height, Subang pada 2 Mei hingga 28 Julai 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rasyihah menetapkan 25 Okt depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam setiap awal bulan serta tidak dibenarkan memperbaharui pasport sehingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Aliff Shahruzaman dan Tuan Attfina Tuan Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Aidil Arsad dan Mohd Shukri Ahmad Mansor. – Bernama, 22 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen