Jangan tular video Covid-19 cetus kegemparan awam - Exco Perak - Utusan Malaysia

Jangan tular video Covid-19 cetus kegemparan awam – Exco Perak

MOHD. AKMAL KAMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Klip video pengurusan pengebumian penduduk Orang Asli yang dijangkiti Covid-19 yang tular dalam media sosial, adalah proses biasa yang dijalankan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, video yang memaparkan petugas membawa jenazah melalui laluan sungai pula adalah disebabkan lokasi perkuburan terletak di seberang sungai perkampungan Orang Asli tersebut.

“Masyarakat Orang Asli di situ (Kampung Ulu Groh, Gopeng) juga memberikan kerjasama yang baik dan sebilangan kes yang positif telah dihantar ke Pusat kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sungkai, Perak.

“Pengoperasian Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dikawal rapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta bantuan makanan asas turut disediakan dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Kampar serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Akmal menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menularkan mesej dan video yang boleh mengakibatkan kegemparan awam.

“Seluruh petugas barisan hadapan yang ditempatkan di PKPD perkampungan tersebut amat komited dengan tanggungjawab yang diberikan, maka tidak wajar kita menularkan berita yang tidak sahih yang boleh mencetuskan situasi panik,” ujarnya.

Sejak semalam tular mesej dalam media sosial mendakwa 250 Orang Asli di Kampung Ulu Groh positif Covid-19 dan melarikan diri masuk ke dalam hutan.

Kampung Ulu Groh dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 hingga 25 September ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming, menafikan laporan itu sambil memberitahu, tiada laporan diterima Pejabat Kesihatan Daerah Kampar berhubung perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya