Kutipan sampah di pantai Kuala Terengganu melonjak 50 peratus - Utusan Malaysia

Kutipan sampah di pantai Kuala Terengganu melonjak 50 peratus

ROZALI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kutipan sampah di kawasan pantai di daerah ini melonjak  50 peratus kepada satu tan metrik dalam tempoh hanya sehari.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rozali Salleh berkata, jumlah kutipan tertinggi direkodkan di Pantai Batu Buruk di sini susulan pertambahan pengunjung.

Katanya, peningkatan itu turut dipengaruhi aktiviti penjaja yang semakin rancak di tepi-tepi pantai.

“Beberapa lokasi seperti Pantai Batu Buruk, Pantai Batu Buruk lama, Pantai Teluk Ketapang dan Pantai Lagun Kuala Ibai sememangnya menjadi tumpuan ramai sejak Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) lagi hingga Fasa Tiga kini.

“Sampah yang meningkat ini susulan aktiviti riadah dan santai oleh pengunjung warga Kuala Terengganu,” katanya hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sikap pengotor sebahagian rakyat Malaysia yang membuang sampah hingga mencemarkan  pantai, tasik dan air terjun di seluruh negara selepas kebenaran beriadah diberikan.

Kawasan riadah yang kembali bersih ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini mula dicemari sampah-sarap terutama sisa makanan, lampin pakai buang bayi dan puntung rokok.

Keadaan menjijikkan itu boleh dilihat di semua pusat pelancongan dan rekreasi di seluruh negara yang dibuka semula sejak minggu lepas.

Rozali berkata, beberapa pekerja telah ditempatkan secara rutin untuk menjalankan kerja-kerja kutipan sampah di tong-tong yang disediakan di samping membersihkan sampah yang berterbangan dan yang ditinggalkan oleh pengunjung di tempat-tempat tidak sepatutnya.

Malah, katanya, kerja-kerja pembersihan pantai turut dibantu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Geng Plastik Hijau yang bersama-sama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk memastikan persekitaran pantai sentiasa bersih daripada sampah.

“Kita berharap rakyat terus mengamalkan amalan sivik yang terpuji dengan membuang sampah di tempat disediakan dan tidak meninggalkan sisa-sisa buangan di kawasan perkelahan atau melepak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.