MoU batal jika hak asas perlembagaan terjejas, kata Guan Eng


Setiausaha Agung DAPLim Guan Eng berkata, pelantikan politik, usaha menggugat hak orang Islam serta hak orang bukan Islam juga antara yang boleh membatalkan perjanjian persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2021.

PERJANJIAN persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) akan terbatal jika kerajaan menggugat hak asas Perlembagaan rakyat Malaysia, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP berkata, ia termasuk pelantikan politik, usaha menggugat hak orang Islam dan status agama Islam serta hak orang bukan Islam dan kebebasan beragama bagi mengamalkan agama mereka sendiri.

“Walaupun MoU berkenaan tidak meliputi bidang-bidang lain yang tidak disebutkan, izinkan saya menyatakan dengan tegas bahawa jika hak-hak asas perlembagaan terjejas, MoU berkenaan juga akan berhenti berkuat kuasa dan terbatal,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.

“Kumpulan rasis dan ekstremis dalam kerajaan perlu menghentikan niat untuk melaksanakan undang-undang Syariah kepada orang bukan Islam atau menyekat amalan agama mereka berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. 

“Menyentuh hak Perlembagaan rakyat Malaysia, sama ada orang Islam atau bukan Islam, bukan cara ‘Keluarga Malaysia’ yang didukung oleh Perdana Menteri,” katanya.

Minggu lalu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan PH memeterai satu perjanjian untuk merintis kestabilan politik di tengah usaha menangani penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik.

Beberapa hari setelah pengumuman MoU, Ismail berkata kerajaan sedang mempergiatkan usaha untuk mendraf Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355 supaya ia lebih komprehensif. 

Kenyataan itu menyusuli usaha lain oleh kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang syariah baharu, termasuk undang-undang untuk menghalang penyebaran agama bukan Islam.

Semalam, Zamri Yaakob abang kepada Ismail Sabri dilantik sebagai ketua Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

DAP bimbang dengan pelantikan ini, kata Lim.

“Tidak ada keraguan bahawa pelantikan yang berbentuk habuan politik sebagai pertukaran untuk sokongan, konflik kepentingan atau nepotisme akan meningkatkan pengawasan atau keraguan yang lebih besar mengenai komitmen kerajaan terhadap reformasi institusi yang disebut di dalam MoU,” katanya.

Zamri dilantik sebagai pengerusi Nafas berkuat kuasa 13 September berikutan peletakan jawatan pengerusi sebelumnya, Dr Anis Mahmud. – 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen