Hishammuddin bawa isu monopoli vaksin dalam Forum Kerjasama Antarabangsa Vaksin - Utusan Malaysia

Hishammuddin bawa isu monopoli vaksin dalam Forum Kerjasama Antarabangsa Vaksin

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyertai mesyuarat pertama Forum Kerjasama Antarabangsa Vaksin secara maya malam ini dengan membawa isu monopoli vaksin dan menekankan kepentingan pengagihan secara saksama.

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, program julung kali yang dianjurkan Kementerian Luar China itu dipengerusikan Menteri Luar China, Wang Yi dengan perbincangan tertumpu kepada usaha peningkatan kapasiti pengeluaran dan kerjasama teknologi vaksin.

Katanya, usaha bersepadu itu diharap bakal memudahkan perolehan vaksin pada harga berpatutan oleh negara-negara membangun bagi memerangi pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Fokus ucapan Hishammuddin dalam mesyuarat tersebut turut menyentuh mengenai keperluan segera bagi semua negara mendapat akses bagi perolehan vaksin kerana ia adalah kaedah terbaik mengekang wabak Covid-19.

“Satu kenyataan bersama akan dikeluarkan sebagai hasil mesyuarat bagi mempamerkan kesatuan dan komitmen teguh negara-negara peserta melalui kerjasama sejagat,” katanya.

Wisma Putra turut memaklumkan bahawa pada 18 November 2020 lalu, kerajaan Malaysia dan China memeterai Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Akses Vaksin bagi membolehkan Malaysia membeli vaksin dihasilkan China dan memulakan kerjasama teknikal dalam teknologi pembangunan terutama bagi aspek pensijilan halal.

Selain itu, kenyataan media bersama ketika lawatan Wang Yi ke Malaysia pada 13 Oktober 2020, menyenaraikan Malaysia sebagai antara penerima utama vaksin buatan China.

“Malahan pada bulan lalu, China turut menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin Sinovac kepada Malaysia sebagai menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” jelasnya.

Forum pada pukul 8.00 malam akan dihadiri 30 peserta melibatkan menteri luar dari pelbagai negara dan badan antarabangsa termasuk wakil khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri.

Kerajaan China setakat ini sudah membekalkan lebih 500 juta dos vaksin kepada lebih 100 negara dan organisasi sejagat selain menghantar bahan mentah untuk pembangunan vaksin.

Presiden China, Xi Jinping sendiri dilaporkan berikrar menyumbang 19.4 bilion yuan (RM12.7 bilion) dalam tiga tahun bagi menyokong negara membangun keluar daripada isu Covid-19. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya