DAP, MCA bimbang mudarat lebih besar jika Muhyiddin tumbang


MCA dalam satu kenyataan menyatakan pendirian akan terus menyokong kerajaan PN sehingga pilihan raya umum akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2021.

DAP dan MCA menimbulkan kebimbangan mengenai mudarat lebih besar yang mungkin berlaku sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tumbang.

DAP, parti tunggal yang menguasai jumlah kerusi Parlimen paling besar antara lain bimbang sekiranya Umno kembali berkuasa sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu jatuh.

Perkara itu dibangkitkan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang turut membangkitkan persoalan sekiranya kerajaan PN patut dibiarkan berkuasa untuk menyekat kemaraan Umno itu.

Pua memberi amaran, Umno pada waktu ini sudahpun mengatur gerakan untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

“Apabila mana-mana pemimpin Umno menjadi PM, tidakkah semula kleptokrat akan dibebaskan atau mungkin turut kembali berkuasa?”

Apabila perkara itu berlaku, Umno juga akan dapat memperkukuh kuasa politik supaya menjadi lebuh berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang, katanya.

Oleh itu, beliau menyarankan agar senario kedua difikirkan secara mendalam – untuk membiarkan kerajaan PN terus berkuasa untuk sedikit masa lagi.

Langkah ini akan dapat menghalang kumpulan kleptokrat membebaskan diri dari tuduhan dan kembali kuasa, kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu lagi.

“Ini akan menyekat Umno manakala PH dapat menyingkirkan Muhyiddin dan (menteri kanan) Azmin (Ali) dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

MCA pula melalui kenyataan biro politik parti itu bimbang tiada parti atau gabungan lain yang dapat membentuk kerajaan stabil pada masa ini

Oleh sebab itulah MCA tetap setia menyokong kerajaan PN sehingga pilihan raya umum akan datang untuk memastikan keadaan politik terus stabil waktu ini, menurut parti itu.

“Fakta dan realiti terbukti – tiada parti atau gabungan dapat membentuk kerajaan stabil jika kerajaan PN jatuh waktu ini.

“Ia hanya akan mengheret negara ke dalam krisis politik yang mendalam dan akan menjejaskan rakyat dan negara,” kenyataan itu dipetik.

MCA yang kini menguasai dua kerusi Parlimen – Ayet Hitam dan Tanjung Piai – juga akan terus menyokong kerajaan PN sehingga pilihan raya umum akan datang, tegas biro itu.

“Ini pendirian BN sejak tahun lalu dan MCA bertanggungjawab mempertahankannya.”

Parti itu juga setuju agar Muhyiddin membuktikan majoritinya dalam sidang Parlimen pada September.

Muhyiddin semalam mengumumkan akan membuktikan majoriti yang dikuasainya dalam sidang Parlimen bulan depan, selepas Umno menarik sokongan ke atasnya.

Dalam perutusan khasnya semalam, Muhyiddin juga mengakui lapan ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan mereka, seperti yang dimaklumkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, beliau masih ada sokongan yang cukup untuk terus menerajui kerajaan dan isu peletakan jawatannya tidak berbangkit. – 5 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen