Warga emas boleh dapat vaksin tanpa janji temu mulai minggu depan, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Seorang penerima vaksin mendapatkan suntikan di pusat vaksinasi di ibu negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2021.

WARGA emas di seluruh negara boleh mendapatkan suntikan vaksin tanpa janji temu (walk in) mulai minggu depan, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

“Beberapa negeri sudah membenarkannya,” kata menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam sidang media mingguannya.

“Beberapa negeri juga sedang bersedia untuk menerima warga emas yang belum diberi vaksin tanpa janji temu,” tambahnya.

Katanya, perincian tarikh dan pusat vaksinasi akan diumumkan oleh Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 di peringkat negeri.

Pada masa ini, pusat vaksinasi di Lembah Klang sudah menerima warga emas tanpa janji temu.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba tidak hadir pada sidang media hari ini ketika menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen hari ini.

Semalam Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata jawatankuasa itu akan bermesyuarat walaupun ada cadangan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bahawa semua mesyuarat di Parlimen dibatalkan selama dua minggu.

Wong berkata mesyuarat hari ini akan menyaksikan PAC mengumpulkan maklum balas mengenai isu pemerolehan vaksin daripada Adham dan ketua pengarah kesihatan. 

Ia adalah mesyuarat kali ketiga yang membincangkan perkara itu. – 2 Ogos, 2021.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen