Isu tamat darurat dan kompaun PKP - Utusan Malaysia

Isu tamat darurat dan kompaun PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 adalah sebuah akta yang di gubal oleh Parlimen.

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 pula adalah satu undang-undang yang dibuat semasa darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada 19 Januari 2021 yang berkait dengan penularan wabak penyakit berjangkit yang mengancam keselamatan kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

Perkara 150 (1) adalah seperti berikut:

Perkara 150 Proklamasi darurat

 Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka baginda boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

Kedua-dua undang-undang ini dilaksanakan dengan ber­­tujuan mengekang dan mengawal pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
Baru-baru ini pada Persidangan Khas Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu adalah dimaklumkan bahawa semua Ordinan Darurat telah dimansuhkan oleh kerajaan sejak 21 Julai.

Maka timbul kekeliruan masyarakat bahawa segala sekatan dan larangan di bawah ordinan ini tidak lagi berkuat kuasa umpamanya larangan merentas negeri dan daerah serta pelbagai aktiviti yang dilarang di bawah ordinan ini.

Ada juga keliru sama ada saman dan kompaun yang mereka dapat atau yang telah dibayar menjadi tidak sah.

Menurut pengisytiharan darurat 2021 di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan ia akan tamat pada 1O Ogos 2021.

Namun begitu bukanlah setelah pemansuhan Ordinan Darurat ini dan pengisytiharan darurat tamat maka segala larangan dan aktiviti semasa pandemik Covid 19 ini telah dibenarkan. Segala larangan dan perintah pergerakan masih berterusan dalam menangani pandemik Covid-19 ini.

Bila dilihat kembali sebe­lum masa pengisytiharan darurat dibuat pihak Kerajaan telah pun menggunakan Akta 342 untuk mengawal aktiviti daripada berlakunya penularan pandemik Covid-19.

Tahun lalu, kerajaan masih lagi belum membuat apa-apa pengisytiharan darurat apabila mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Majlis Keselamatan Negara. Contohnya, PKP bertarikh 18 Mac 2020.

Seksyen 3 Akta 342 mempunyai peruntukan berkaitan siapa yang mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa perintah Seksyen 6 iaitu memberikan kuasa untuk pengisytiharan kawasan berjangkit dan Seksyen 7 adalah kuasa untuk memeriksa kenderaan dan segala urusan pencegahan dan pengawalan.

Sebenarnya Akta 342 ini merangkumi lebih luas daripada Ordinan-ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Ordinan-ordinan Darurat hanya membantu dengan lebih terperinci hal-hal berkaitan perkara yang dinyatakan sebelum ini di bawah Akta 342.

Contohnya, di bawah Ordinan Darurat terdapat berkaitan kesalahan penyebaran berita palsu setelah dibubarkan maka ia boleh digantikan penggunaan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Antara yang dibubarkan juga adalah jawatankuasa khas bebas yang peranan ini boleh diambil alih oleh Kementerian Kesihatan dan juga menteri-menteri berkaitan.

Maka segala PKP adalah sah dan juga apa-apa kesa­lahan di bawah PKP yang di kompaun adalah sah kerana ia dibuat di bawah Akta Pen­cegahan dan Kawalan Pe­nyakit Berjangkit 1988 Akta 342.
Maka tidak timbul apa-apa masalah jika ada yang dikompaun dan apa-apa perintah yang dikeluarkan selepas 21 Julai 2021.

Proklamasi Darurat Perkara 150 (7)

Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa:

 Apabila habis tempoh enam bulan yang bermula dengan tarikh sesuatu Proklamasi Darurat terhenti berkuat kuasa, apa-apa ordinan yang dimasyhurkan menurut proklamasi itu dan setakat yang undang-undang itu tidak dapat dibuat dengan sahnya jika tidak kerana Perkara ini, apa-apa undang-undang yang dibuat hendaklah terhenti berkuat kuasa, kecuali tentang perkara-perkara yang telah dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan sebelum habis tempoh itu.

Apa-apa pun tamat tempoh enam bulan segala ordinan akan tamat dengan sendirinya namun jika ia belum tamat tem­­poh masa enam bulan ada­lah perlu untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Oleh kerana pengisytiharan darurat ini dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 150 Perlembagaan Per­sekutuan, maka penamatan darurat dan ordinan-ordinan sepatutnya diisytiharkan oleh baginda atau setelah mendapat perkenan baginda setelah dibentangkan di Dewan Rak­­yat dan tidak dilakukan oleh pihak kerajaan semata- mata iaitu diumumkan begitu saja penamatannya secara retro­spektif.

Justeru, melihat daripada tindakan kerajaan mengisytiharkan penamatan dan Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai lalu pihak Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media berkait dengan isu ini.

Dalam kenyataan tersebut Yang di-pertuan Agong menzahirkan pandangan baginda bahawa kerajaan tidak sepatutnya secara tergesa-gesa membatalkan Ordinan Darurat tanpa pembentangan di Parlimen.

Walaupun kuasa Perdana Menteri adalah untuk mena­sihatkan Yang di-Pertuan Agong namun jika tindakan Perdana Menteri adalah tersasar daripada kehendak Perlembagaan Persekutuan, baginda boleh tidak menurut nasihat Perdana Menteri.

DATUK Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya