Asean harap pelantikan duta khas ke Myanmar dimuktamadkan minggu depan


Pelantikan duta khas ke Myanmar yang dijangka dimuktamadkan pada Mesyuarat Menteri Luar Negeri Asean minggu depan berperanan sebagai perantara untuk proses dialog bagi mencari jalan keluar terhadap konflik di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari lalu. – Gambar EPA, 31 Julai, 2021.

PELANTIKAN duta khas ke Myanmar dijangka dimuktamadkan pada Mesyuarat Menteri Luar Negeri Asean minggu depan.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asean, Kementerian Luar Thailand, Usana Berananda, berkata  tiga calon sudah dikenal pasti dan Brunei, selaku pengerusi Asean, telah menyerahkan senarai nama itu kepada Myanmar.

“Kami difahamkan Myanmar telah memberikan maklum balas positif. Kami berharap pelantikan itu dapat dimuktamadkan pada Mesyuarat Menteri Asean/Persidangan Selepas Mesyuarat Menteri minggu depan.

Duta khas itu berperanan sebagai perantara untuk proses dialog bagi mencari jalan keluar terhadap konflik di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari yang menggulingkan pemerintahan Aung San Suu Kyi. 

Antara calon itu ialah diplomat veteran Thailand dan bekas timbalan menteri luar, Virasakdi Futrakul. Laporan media baru-baru ini mengatakan dua lagi calon ialah bekas Menteri Luar Indonesia Hassan Wirajuda dan Razali Ismail dari Malaysia yang sebelum ini berkhidmat sebagai utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar.

“Selepas utusan khas dilantik, mandat akan berdasarkan konsensus lima perkara yang disepakati pemimpin Asean pada Mesyuarat Khas di Jakarta, Indonesia, pada April,” katanya pada sidang media maya pada Jumaat.

Konsensus itu antara lain menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar, dialog konstruktif antara semua pihak, pelantikan duta khas sebagai perantara, menyalurkan bantuan kemanusiaan dan duta khas akan melawat Myanmar dan bertemu dengan semua pihak yang berkenaan.

Tiga bulan selepas konsensus itu dicapai keadaan di Myanmar bertambah buruk susulan tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa, menyaksikan lebih 900 orang dilaporkan terbunuh. Keadaan itu diburukkan lagi dengan peningkatan kes dan kematian Covid-19.

Usana berkata Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana Asean (Pusat AHA) dan Sekretariat Asean telah menyediakan persediaan awal untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.

“Thailand akan menyumbang bekalan perubatan melalui Pusat AHA ke Myanmar. Kami bekerjasama rapat dengan Myanmar dan Pengerusi Asean, Brunei,” katanya. – Bernama, 31 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen