Aktivis berhimpun selepas polis tutup jalan protes #Lawan


Sebahagian daripada aktivis berpakaian hitam yang berhimpun di stesen LRT Masjid Jamek sejak pukul 10.30 pagi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 31 Julai, 2021.

SEMUA jalan di Dataran Merdeka ditutup berikutan protes bagi menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan oleh aktivis belia hari ini.

Dianjurkan oleh Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), yang merupakan gabungan kumpulan masyarakat sivil dan belia, mereka turut menggesa persidangan penuh Parlimen dan moratorium pinjaman secara automatik bagi mengurangkan beban berikutan sekatan Covid-19.

Walaupun dengan kehadiran pihak polis dan sekatan jalan raya, kira-kira 80 aktivis berpakaian hitam mula berhimpun di stesen LRT Masjid Jamek sejak pukul 10.30 pagi.

Pada pukul 11 pagi, lebih 100 belia berhimpun di Jalan Masjid berhampiran stesen LRT.

Kebanyakan mereka membawa bendera hitam dan plakad dengan slogan seperti “Kita Mati Dalam Derhaka” dan “Kerajaan Pembunuh”, merujuk kepada angka kematian Covid-19 lebih 8,000.

Pada pukul 11.25 pagi, sekitar 500 orang mula memenuhi kawasan berkenaan dan mula berjalan ke arah Dataran Merdeka sambil melaungkan slogan “Hidup Rakyat”.

Beberapa peserta turut dilihat membawa patung yang dibalut dengan kain putih untuk melambangkan mangsa Covid-19. Lima patung turut diletakkan di jalan berhampiran Dataran Merdeka.

Badan Peguam dan kumpulan sivil lain turut menghantar pasukan pemantau dan menyediakan bantuan guaman secara percuma kepada mereka sekiranya ditahan.

Aktivis berhimpun dan membawa plakad yang tertulis pelbagai slogan bagi membantah kerajaan Perikatan Nasional.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Julai, 2021

Walaupun protes berkenaan berlangsung di tengah pandemik, ramai juga yang menyatakan solidariti di media sosial.

Bekas presiden Badan Peguam Ambiga Sreenevasan turut menyatakan sokongan penuhnya menerusi Twitter.

“Memberikan ruang kepada belia kita untuk bersuara secara aman adalah menegakkan hak perlembagaan mereka. Mereka adalah masa depan kita. Mereka akan warisi semua kesilapan yang kita lakukan. Mereka berhak untuk memperbetulkannya semula.”

Aktivis Marina Mahathir menerusi Twitter turut memberikan galakan kepada ibu bapa aktivis terlibat, dan menyatakan beliau faham dengan kebimbangan mereka terhadap keselamatan anak-anak.

“Tetapi mereka lakukan ini semua untuk kita. Kita patut puji mereka kerana berani. Jangan risau, kamu tidak keseoragan. Kami bersolidariti dengan mereka.”

SRR merupakan kumpulan sama yang menganjurkan protes bendera hitam di media sosial dan Dataran Merdeka pada 17 Julai bagi menyelar kerajaan Perikatan Nasional kerana gagal menguruskan krisis Covid-19.

Beberapa peserta turut membawa patung yang dibalut dengan kain putih untuk melambangkan mangsa Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 31 Julai, 2021

Menjelang tunjuk perasaan hari ini, pihak berkuasa memulakan tindakan terhadap aktivis sejak 25 Julai dengan memanggil mereka untuk disoal siasat di balai polis.

Pada Khamis lalu pengasas setiausaha MISI Solidariti Sarah Irdina, 21, ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 dan rumahnya diserbu. Dia dibebaskan pada 12.30 pagi Jumaat.

Tanda pagar #Lawan kini trending di media sosial dengan perkembangan dan posting mengenai protes berkenaan. – 31 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen