Didakwa edar dadah, penjual daging terlepas hukuman gantung - Utusan Malaysia

Didakwa edar dadah, penjual daging terlepas hukuman gantung

PENJUAL daging Sahul Hamid Mohd., 44, terlepas daripada hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.7 kilogram (kg) tiga tahun lalu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang penjual daging tidak dapat menahan sebak selepas terlepas daripada hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.7 kilogram (kg) tiga tahun lalu.

Tertuduh, Sahul Hamid Mohd., 44, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu oleh Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Dalam penghakimannya, Mohd. Radzi berkata, pihak pendakwaan yang memanggil seramai sembilan saksi gagal membuktikan tertuduh terbabit dalam pengedaran dan pemilikan dadah tersebut.

“Pihak pendakwaan gagal mengemukakan seorang saksi material (saksi penting) iaitu pemilik kenderaan MPV jenis Naza Citra yang mengandungi dadah berkenaan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Sahul Hamid didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.7 kg di Tesco Extra Sembilang, Seberang Jaya, pukul 3.15 petang pada 8 Januari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, ketika kejadian, Sahul Hamid ditemui berhampiran sebuah kenderaan jenis MPV Naza Citra, namun, tiada saksi atau rakaman CCTV di lokasi kejadian bagi membuktikan tertuduh memandu dan membawa dadah tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari manakala Sahul Hamid diwakili peguam, S. Rethinakumar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya