'Port' pindah LPG awal pagi diserbu - Utusan Malaysia

‘Port’ pindah LPG awal pagi diserbu

ANTARA gas LPG susbsidi yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah premis perniagaan dua tingkat di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan dikesan dijadikan sebagai ‘port’ pemindahan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke dalam tong LPG industri pada waktu awal pagi.

Kegiatan haram itu dipercayai dijalankan bermula kira-kira pukul 1 pagi bagi mengelak dihidu pihak berkuasa dan masyarakat setempat.

Taktik licik tersebut bagaimanapun berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan Selangor yang menyerbu premis itu, pukul 2.20 pagi tadi.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dijalankan hasil risikan selama sebulan berikutan terdapat lori membawa gas petroleum cecair keluar masuk ke premis terbabit.

Katanya, ketika serbuan dua warga tempatan termasuk pemilik perniagaan itu yang berusia 41 dan 47 tahun sedang menjalankan proses pemindahan gas.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemui sebanyak 123 silinder gas petroleum cecair bersubsidi 14 kilogram (kg), 60 silinder gas petroleum cecair bersubsidi 14kg (kosong) dan 45 silinder gas petroleum cecair industri 50kg (kosong)

“Turut disita adalah peralatan pemindahan gas dan dokumen invois belian. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM27,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Muhamad Zikril, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di premis selain daripada yang dilesenkan atau dibenarkan oleh pengawal.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duaya sekali, manakala denda tidak lebih RM2 juta bagi pertubuhan perbadanan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mensabitkan kesalahan terhadap pemilik premis berkenaan.

“Kita amat serius mengesan pembekal yang terlibat di sebalik aktiviti itu untuk dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Muhamad Zikril meminta orang ramai yang mempunyai sebarang aduan supaya menyalurkannya di portal [email protected] atau menghubungi talian 1800-886-800. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya