Kini seluruh Lembah Klang adalah ICU, kata ahli Parlimen Klang 


Hailey Chung Wee Kye

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata kini seluruh Lembah Klang adalah unit rawatan rapi kerana tiada jaminan pesakit Covid-19 akan keluar dengan selamat.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Julai, 2021.

SELURUH Lembah Klang kini boleh dianggap sebagai unit rawatan rapi (ICU) menurut Charles Santiago, berikutan kes harian Covid-19 yang terus meningkat di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Ahli Parlimen Klang itu berkata terdapat kekurangan kemudahan dan peralatan kesihatan bagi merawat mereka yang dijangkiti koronavirus dan tiada jaminan semua yang masuk ke unit rawatan rapi hospital akan keluar dengan selamat.

“Hari ini, seluruh Lembah Klang perlu dianggap sebagai ICU, mengapa? Kita kekurangan oksigen, peralatan perubatan dan katil.”

“Kita tidak boleh biarkan kerajaan membunuh lebih ramai lagi rakyat Malaysia pada hari lain,” kata ahli Parlimen Klang yang bergelut dengan masalah kekurangan bekalan perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sejak dua minggu lalu.

Semalam, Malaysia merekodkan 15,902 kes jangkitan baharu Covid-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 996,393.

Selangor dan Kuala Lumpur terus merekodkan kes harian tertinggi iaitu masing-masing 7,351 dan 2,406.

Santiago berkata beliau telah memohon sebanyak RM20 juta daripada kerajaan untuk keperluan kecemasan di HTAR di Klang.

Bagaimanapun menurut Santiago, hanya RM1.1 juta diberikan kerajaan yang mana ianya hanya cukup untuk membeli tiga alat bantuan pernafasan.

“Kita dalam keadaan darurat, bagaimana ini cukup untuk beli oksigen, alat bantuan pernafasan, katil dan peralatan sokongan lain?

“Saya tahu mengenai kes orang ramai terpaksa menunggu di luar Jabatan Kecemasan selama tiga hari tanpa katil untuk tidur atau duduk, mahupun bekalan oksigen untuk bernafas dengan lebih baik. Ini bukan satu atau dua jam, tetapi tiga hari!

“Apa maksudnya? Kerajaan dan sistem telah gagal melindungi rakyat Malaysia,” kata Santiago.

Beliau turut menyifatkan ICU sebagai tempat yang tiada jaminan bagi pesakit Covid-19 untuk keluar dengan selamat.

Santiago secara peribadi menyatakan kini lebih ramai yang dijangkiti pandemik berbanding tahun lalu.

Katanya beliau turut kehilangan rakannya semalam namun enggan menyalahkan barisan petugas barisan hadapan.

“Dan dua hari sebelum ini, seorang mangsa Covid-19 meminta bantuan selama dua setengah hari sebelum meninggal dunia.

“Saya tidak menyalahkan petugas barisan hadapan kerana mereka telah mencuba sedaya upaya.

“Mereka bekerja 10 hingga 12 jam setiap hari malah ada yang 14 jam. Tapi mana kerajaan?” katanya.

Santiago bersama enam ahli Parlimen Pakatan dan dua aktivis ke Balai Polis Pantai hari ini.

Mereka membuat laporan polis terhadap menteri kesihatan dan menteri lain kerana kecuaian dalam menangani krisis Covid-19 di negara ini. – 25 Julai, 2021.


 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen