Jangan mogok ketika sistem kesihatan kritikal, kata Najib kepada doktor kontrak


Raevathi Supramaniam

Sekarang bukan masa sesuai untuk mogok kerana negara kini sedang sibuk memerangi pandemik Covid-19, kata bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2021.

PERTIMBANGKAN semula rancangan untuk mogok kerana sistem kesihatan Malaysia kini berada pada tahap kritikal, kata bekas perdana menteri Najib Razak kepada doktor kontrak.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata walaupun beliau bersimpati dengan keadaan doktor kontrak, namun ini bukan masa sesuai untuk membuat mogok memandangkan negara kini sedang memerangi pandemik Covid-19.

“Kesianlah dengan pesakit-pesakit yang sedang bertarung nyawa. Mereka tidak berdosa dan juga adalah mangsa kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya dan ahli keluarga pesakit secara ikhlas rayu pada kamu,” katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini, selepas Hartal Doktor Kontrak berkata mereka akan teruskan mogok pada Isnin.

Awal hari ini, kumpulan Doktor Kontrak Hartal mengumumkan sekitar 4,000 sehingga 5,000 doktor di seluruh negara dijangka terlibat dalam mogok dijadualkan berlaku pada Isnin 26 Julai ini.

Kumpulan itu berkata mereka sudah memberikan masa mencukupi kepada kerajaan untuk mencadangkan penyelesaian isu tersebut, menambah yang pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hanyalah bersifat sementara dan separuh masak.

Kelmarin Muhyiddin berkata Putrajaya akan melanjutkan tempoh kontrak kepada pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang sudah diterima untuk memasuki latihan kepakaran dengan tempoh maksimum empat tahun.

“Ada yang akan sindir bahawa doktor kontrak ini bermula masa kerajaan Barisan Nasional (BN). Tapi jika keputusan itu tak betul, kenapa pula kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan PN tak perbetulkan?” soal Najib.

Sistem doktor kontrak pertama kali diperkenalkan pada 2016 sebagai penyelesaian kepada penangguhan jawatan doktor pelatih.

Selepas menyertai perkhidmatan kerajaan, doktor muda diberi pakej kontrak lima tahun terdiri daripada kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun.

Dalam beberapa minggu terakhir ini, para doktor kontrak telah mendesak Kementerian Kesihatan menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap.

Najib Razak berkata, pandemik ini telah buktikan pentingnya ramai doktor-doktor tetap dalam kerajaan dan keperluan maslaah ini hanya berkait dana dan logistik, malah boleh diatasi apabila Barisan Nasional mendapat semula mandat rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2021.

“Doktor-doktor kontrak sudah buktikan ketabahan, kesabaran, pengorbanan dan kebolehan mereka sambil menghadapi risiko yang tinggi pada pandemik ini.

“Pandemik ini juga telah membuktirkan bahawa wujudnya keperluan bagi lebih ramai doktor-doktor tetap kerajaan. Ini cuma masalah dana dan perancangan logistik. Boleh diatasi pada masa depan,” kata Najib, menyarankan doktor kontrak ambil dahulu tawaran kontrak dua tahun yang diberikan kerajaan.

“Pada masa depan, kerajaan BN akan perbetulkan dan akan mengembalikan keadilan pada kamu,” katanya.

Mogok pada Isnin ini dijangka menimbulkan kekacauan kepada sistem kesihatan awam kerana pada masa ini terdapat lebih 160,000 pesakit Covid-19 yang aktif. Dalam 24 jam terakhir ini, Malaysia melaporkan 15,902 jangkitan baharu, paling tinggi setakat ini.

Data dari KKM menunjukkan sejumlah 23,077 pegawai perubatan kontrak UD41 dipilih untuk menjalani latihan siswazah dan perkhidmatan wajib antara Disember 2016 dan Mei 2021.

Namun, hanya 789 dari mereka yang ditawarkan jawatan tetap, membuatkan lebih ramai berada dalam keadaan tergantung, manakala ada yang sudah berhijrah ke luar negara. – 24 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen