FDAM saran Finas rangka Pelan Pemulihan Industri Kreatif - Utusan Malaysia

FDAM saran Finas rangka Pelan Pemulihan Industri Kreatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyaran agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) merangka program Pelan Pemulihan Industri Kreatif  sejajar dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengekang pandemik Covid-19 serta memastikan pemain industri dapat terus bergiat semula bagi merancakkan industri kreatif negara.

Saranan FDAM ini dibuat bagi menyokong gesaan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dalam beberapa portal berita sebelum ini agar Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM-31) ditunda ke tahun hadapan atau suatu masa lain yang lebih sesuai.

Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim berkata, sebagai agensi kawal selia industri perfileman, FINAS perlu peka kepada keadaan semasa yang tidak memungkinkan FFM-31 dapat dijalankan dengan jayanya berikutan keadaan negara yang masih berhadapan isu kesihatan dan rakyat yang kehilangan punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang menghentikan sama sekali kegiatan ekonomi.

DR. AHMAD IBRAHIM

“Walaupun FFM-31 dijalankan secara maya, ia masih berpaksi kepada berpesta-pestaan dan tetap memerlukan kos pembiayaan yang bukan sedikit bagi menyediakan konsep persembahan dan pementasan, peralatan penggambaran dan teknikal, tenaga kerja dan anugerah. 

“Meskipun dijalankan secara maya, aspek festival yang menjurus kepada kegembiraan sudah pasti tidak sesuai pada ketika penggiat industri sedang berhadapan dengan cabaran meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Justeru, FDAM berharap FINAS dapat mengemukakan kertas cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan agar mempertimbangkan  supaya  syarikat penerbitan filem dan program televisyen dibenarkan beroperasi pada Fasa Ke-3 pada sekitar bulan September atau Oktober depan. 

Ini kata beliau, bagi memulihkan kembali kehidupan lebih 10,000 penggiat  industri kreatif  yang majoritinya adalah karyawan bebas (freelancer) yang bukan sahaja tiada pendapatan lain malah mereka juga tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“FDAM dengan ini meminta FINAS mengemukakan cadangan kepada MKN dan Kementerian Kesihatan agar melonggarkan syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memberi kebenaran kepada pasukan penerbitan merentas negeri dan membenarkan penggambaran di zon hijau seperti Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sabah selewat-lewatnya pada hujung bulan Julai.  

 Justeru, Kementerian Kesihatan mestilah juga mempercepatkan program imunisasi berkelompok untuk kira-kira 9,000 orang pekerja filem, program televisyen dan iklan yang masih belum menerima jadual vaksinasi.

 FDAM mencadangkan agar program imunisasi untuk pekerja penerbitan dibuat dalam tiga fasa iaitu fasa pertama pada bulan ini,  fasa kedua pada Ogos dan fasa ketiga pada bulan Septmber bagi membolehkan mereka memulakan atau menyambung kerja penggambaran yang terhenti berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada PKP 3.0.

Kata beliiah sejak PKP 1.0, banyak syarikat penerbitan tempatan terpaksa gulung tikar kerana tidak lagi dapat menampung kos operasi akibat kehilangan kontrak penerbitan serta menanggung hutang dengan pembiaya dana.  Ini secara tidak langsung turut menjejaskan peluang penggiat industri untuk berkarya dan bekerja.

Katanya lagi, dalam situasi serba payah dan genting ini, Finas tidak seharusnya mengutamakan festival semata-mata sedangkan nasib pekerja seni terumbang-ambing tanpa sedikitpun bantuan, seolah-olah kami bukan warganegara yang berjasa kepada negara. 

“Apakah dalam situasi suram dan muram begini FINAS lebih memikirkan untuk berpesta sahaja?

“FDAM tidak menafikan kepentingan festival sebagai satu  usaha bagi merancakkan industri penerbitan filem namun,  dalam situasi sekarang, festival filem hanyalah hiasan semata-mata tanpa dapat dimanfaatkan oleh penggiat industri,“ ujar beliau.

Hidup insan seni yang “ada kerja ada gaji” ini terus tertekan dan tidak akan selesai  dengan festival filem sahaja.  Kami ibarat sekumpulan tentera yang sudah tercedera, tanpa makanan dan tanpa sebutir peluru pun tetapi diarah ke medan perang!   

Sepatutnya Finas  perlu memikirkan bagaimana dana yang ada ini dimanfaatkan ke arah yang lebih membantu mengisi perut kosong penggiat industri.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya