10 ditahan semasa leka berjudi dalam semak 


POLIS menahan 10 individu termasuk tiga wanita warga Vietnam yang leka berjudi menggunakan buah ‘pai kaw’ di kawasan semak di Kampung Baru Penjom, Lipis semalam. 

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata suspek berusia 73 hingga 31 tahun itu ditahan dalam satu serbuan pada 6.20 petang berdasarkan maklumat orang awam dan turut menemukan wang tunai RM2,539 dipercayai wang pertaruhan.  

“Semasa intipan, semua suspek dilihat berkumpul mengelilingi sebuah meja lipat dengan beberapa daripada mereka cuba melarikan diri ke arah hutan berhampiran semasa serbuan dilakukan. 

“Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan dan pemeriksaan di meja itu menemukan alatan dipercayai digunakan untuk berjudi termasuk 32 buah ‘pai kaw’ dan tiga dadu,” katanya dalam kenyataan di Kuantan hari ini. 

Azli berkata semua suspek dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul dan tiada penjarakan fizikal mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021. 

Selain itu, siasatan lanjut juga dijalankan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM5,000 atau atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama, 24 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen