Pemuda UMNO Sabah sokong buka Parlimen dalam 14 hari - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Sabah sokong buka Parlimen dalam 14 hari

ABDUL AZIZ JULKARNAIN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Sabah senada dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mendesak kerajaan untuk segera memanggil Parlimen bersidang dalam tempoh 14 hari.

Ketua Pemuda Umno Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, ini penting sebagai mentaati dan menghormati titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, kegagalan melaksanakan titah tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Agong sebagai ketua negara.

Katanya, Pemuda UMNO Sabah juga akan mendesak kepimpinan tertinggi UMNO untuk membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.

Sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dalam menangani Covid-19.

Di samping itu, Pemuda UMNO Sabah juga mendesak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengadakan sidang DUN dengan kadar segera.

Malah, katanya, desakan ini wajar agar prinsip semak dan imbang di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun negeri dapat dilakukan, agar usaha memastikan tuntutan rakyat dapat dipenuhi pada masa yang sukar dan mencabar ini.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO Sabah turut kesal dengan kegagalan kerajaan Persekutuan bagi menangani Covid-19 terutamanya pelaksanaan program imunisasi yang perlahan di negeri ini.

Biarpun darurat telah dilaksanakan sejak 11 Januari lalu, namun kes-kes positif Covid-19 terus meningkat dan bertambah buruk dan kegagalan ini menjejaskan prospek pemulihan ekonomi negara khususnya di Sabah.

Menurut Abdul Aziz, Pelan Pemulihan Negara (PMN) pula hanya diperkenalkan apabila tempoh darurat hampir berakhir. Ini mengundang banyak persoalan sama ada, ia sekadar satu tindakan preemptif untuk melanjutkan tempoh proklamasi darurat.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu supaya sidang berkenaan diadakan secepat mungkin. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya