Wanita tengking polis di SJR direman dua hari - Utusan Malaysia

Wanita tengking polis di SJR direman dua hari

TANGKAP layar video memaparkan seorang wanita menengking anggota trafik di SJR Jalan Kepayan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Wanita dalam video tular yang dilihat menengking polis di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kepayan, baru-baru ini ditahan reman dua hari.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, wanita berusia 34 tahun itu direman bermula hari ini bagi membantu melengkapkan siasatan kes.

Berdasarkan siasatan awal, wanita berkenaan dipercayai membuat provokasi kerana marah terhadap anggota polis yang ingin mengeluarkan saman bagi dua kesalahan iaitu cukai jalan dan insurans kenderaan tamat tempoh.

“Laporan polis ke atas wanita ini dibuat pada pukul 8.20 malam Sabtu setelah video tersebut tular dalam media sosial.

“Kemudian, wanita ini ditahan di sebuah kondominium di Jalan Lintas pukul 11.20 pagi semalam. Semasa ditahan, wanita ini memberi kerjasama yang baik kepada anggota polis yang bertugas,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, setakat ini proses siasatan sudah 80 peratus siap dan kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Mengulas lanjut, beliau menafikan dakwaan bahawa suspek terpaksa menungu 30 minit sebelum saman dikeluarkan kerana berdasarkan jarak suspek ditahan dan tempat dia memberhentikan kenderaan tidak terlalu jauh maka, tidak logik mengambil masa 30 minit.

Tambah Mohd. Zaidi, video tersebut diambil salah seorang petugas di SJR Jalan Kepayan dan kesemua anggota yang bertugas di SJR itu  dipanggil untuk rakaman percakapan.

Seorang pegawai dan tujuh anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dipanggil bagi membantu siasatan.

Terdahulu,  tular video dalam media sosial sejak 19 Jun lalu yang memaparkan seorang wanita menengking anggota trafik di SJR Jalan Kepayan selepas dikenakan saman kerana cukai jalan tamat tempoh. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya