Polis siasat kumpulan lelaki berarak iring mayat 


POLIS sedang mengesan sekumpulan lelaki dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dengan berarak mengiringi mayat di Jalan Siram, di Butterworth baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pihaknya membuka kertas siasatan hari ini selepas menerima satu laporan mengenai video yang tular di aplikasi TikTok dan Facebook memaparkan sekumpulan lelaki berarak serta menari ketika mengiringi mayat.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian (berarak) dipercayai berlaku pada 17 Jun lepas namun videonya baru tular menerusi media sosial hari ini.

“Polis telah mendapat butiran berhubung si mati dan sedang mengesan kumpulan individu iaitu kira-kira 15 hingga 20 lelaki yang berarak dan menari mengiringi mayat,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mayat itu dibawa dari Teluk Air Tawar, di Butterworth ke tempat pembakaran mayat di Jalan Siram itu dengan menaiki kenderaan, namun kira-kira 500 meter dari tempat pembakaran itu, kumpulan individu berkenaan bertindak berjalan kaki berarak membawa mayat itu hingga ke lokasi pembakaran.

Beliau berkata polis meminta kumpulan lelaki terlibat tampil membantu siasatan, mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 9 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Polis juga akan memanggil pihak pengurusan pengebumian untuk direkodkan keterangan, katanya.

Video berdurasi seminit yang dipercayai dirakam dalam kalangan individu yang berarak itu tular dan komuniti media sosial mempertikaikan tindakan kumpulan tersebut kerana ia melanggar SOP PKP yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Sementara itu Noorzainy berkata pihaknya menahan seorang murid berusia 12 tahun dan dua pelajar berumur 13 tahun kerana berlumba haram serta menunggang motosikal dalam keadaan merbahaya di Jalan Tok Keramat, Padang Cempedak, di Butterworth, pukul 8.00 malam tadi. 

Beliau berkata mereka ditahan selepas polis yang menjalankan Ops Samseng Jalanan mengesan tiga motosikal ditunggang dalam keadaan merbahaya Jalan Titi Keramat menghala ke Taman Cempedak. – Bernama, 20 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen