Ramai lagi dalam Bersatu bolot jawatan GLC, kata Akmal Nasir


Diyana Ibrahim Ravin Palanisamy

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata, pendedahan tersebut akan dibuat kerana kerajaan masih enggan menjelaskan kes seorang pemimpin Bersatu yang didakwa memegang lapan jawatan GLC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2021.

PEMUDA PKR akan mendedahkan lebih ramai pemimpin Bersatu membolot jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sewaktu negara ditimpa bencana.

Ketua pergerakan itu Akmal Nasir berkata, pendedahan tersebut akan dibuat kerana kerajaan masih enggan menjelaskan kes seorang pemimpin Bersatu yang didakwa memegang lapan jawatan GLC.

“AMK (Pemuda PKR) dedahkan minggu lepas bagaimana seorang pimpinan tertinggi Bersatu bakal membolot hingga lapan jawatan GLC, iaitu syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Mara.

“Memandangkan pertanyaan saya masih tidak dijawab oleh menteri, insya Allah minggu depan saya akan tunjukkan bagaimana yang menjarah jawatan bagai tiada hari esok.

“Bukan seorang, tetapi ada lagi kalangan mereka yang membolot jawatan sedangkan kesengsaraan rakyat dan pengorbanan frontliners tidak dipedulikan,” katanya.

Akmal berkata, beliau terdahulu menuntut penjelasan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abd Latiff Ahmad mengenai lapan jawatan pengarah dipegang pemimpin Bersatu tersebut.

Dalam kenyataan Selasa lepas, Akmal menyebut individu tersebut merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Suhaili Abdul Rahman.

Katanya, laporan media serta semakannya mendapati Suhaili antara lain dilantik dalam Mara Corporation Sdn Bhd, Pelaburan Mara Berhad, PMB Tijari Berhad dan Mara Incorporated Sdn Bhd.

Selain itu, Suhaili juga didakwanya dilantik sebagai pengarah Glocal Link (M) Sdn Bhd, juga salah sebuah anak syarikat Mara.

Beliau mendakwa Suhaili bakal memegang jawatan di tiga lagi syarikat iaitu Kolej Polytech Mara Sdn Bhd, Med Bumikar Mara Sdn Bhd dan Universiti Teknikal Mara Sdn Bhd.

Dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR 2020 itu, Akmal juga menggesa parti menjelaskan kepada rakyat alasan untuk memilih parti itu.

Katanya, parti perlu menawarkan lebih banyak sebab berbanding isu kepemimpinan PKR seperti mengenai Presidennya Anwar Ibrahim dan bekas naib presiden Rafizi Ramli.

“Ini bukan hanya berlegar tentang soal bila Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri atau bila Rafizi Ramli akan kembali, walaupun ternyata ini yang kita harapkan dan menjadi pertanyaan serius rakyat kebelakangan ini.

“Namun ia jauh melangkaui semua itu. Ia soal kesediaan kita mengembalikan kerangka besar negara melalui reformasi institusi, menegakkan keadilan, tatakelola yang baik dan banyak aspek lagi,” katanya.

Kongres sehari itu berlangsung secara dalam talian. – 20 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen