Sektor F&B boleh lumpuh jika pelan pemulihan gagal, kata pengendali


Raevathi Supramaniam

Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu tidak memperincikan apakah strategi kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dan seterusnya memulihkan ekonomi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2021.

INDUSTRI makanan dan minuman (F&B) serta hiburan berisiko lumpuh jika pelan pemulihan yang diumumkan kerajaan gagal membawa negara keluar dari pandemik Covid-19 menjelang November, kata pengendali.

Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu tidak memperincikan apakah strategi kerajaan untuk menurunkan kes dan seterusnya memulihkan ekonomi negara, tambah mereka.

Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro Jeremy Lim memberitahu The Malaysian Insight, pengumuman Muhyiddin tidak lebih sekadar penerangan tanpa strategi.

“Sesuatu pelan biasanya bersertakan strategi bagaimana kita hendak turunkan kes Covid-19. Pengumuman perdana menteri hanya sekadar memberitahu sasaran.

“Adakah kita diberitahu bagaimana hendak sasar 500 kes sehari? Tidak,” katanya.

Dalam pengumumannya, Muhyiddin berkata pelan pemulihan mencapai fasa empat selepas purata kes harian Covid-19 kurang daripada 500 kes dan sekurang-kurangnya 60% populasi negara telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa empat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana masyarakat dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian.

Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada prosedur operasi standard yang ketat pada fasa akhir ini.

Menurut Lim, walaupun Muhyiddin menegaskan tiada siapa akan tercicir dalam usaha mencapai sasaran pelan pemulihan, namun pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu membuktikan sebaliknya.

“Kalau kita tengok di mana-mana banyak kedai yang ditutup atau dijual. Sebenarnya ramai yang tercicir.

“Kerajaan perlu turun padang, lihat sendiri dan bercakap dengan rakyat.

“Kerajaan perlu cari jalan terbaik, mereka perlu sedar bahawa apa yang mereka buat sekarang ini tidak betul,” katanya.

Lebih banyak kedai kopi akan gulung tikar jika Pelan Pemulihan Negara gagal mencapai sasaran, kata persatuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2021.

Lim, yang juga mengusahakan kelab malam Dragonfly KL, berkata kerajaan perlu sedar bahawa sejumlah besar kluster Covid-19 dikesan di tempat kerja dan kilang, bukan premis makanan dan minuman.

“Persatuan kami ada 500 perniagaan yang berdaftar, banyak yang masih tidak beroperasi. Kyo di Mandarin Oriental masih belum beroperasi sejak PKP 1.0, begitu juga Wicked in W Hotel.

“Saya tak rasa ada ahli kami yang boleh bertahan sampai November. Ahli-ahli kami di Pulau Pinang beritahu mereka terpaksa tutup.

“Ahli-ahli kami di Johor masih cuba bertahan, tetapi dengar-dengarnya ramai juga akan hentikan operasi,” jelasnya.

Lim menambah, kelab malamnya sebelum ini mempunyai 109 pekerja, tetapi kebanyakannya kini terpaksa bekerja sebagai penghantar.

Katanya, kerajaan sebenarnya boleh membantu sektor F&B yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan menjadikan pekerja sebagai sukarelawan di pusat pemberian vaksin atau menggunakan khidmat syarikat-syarikat yang berpengalaman luas menganjur acara terlibat dalam program imunisasi.

Pelan pemulihan tak boleh gagal

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura Wong Teu Hoo berkata kerajaan sepatutnya melaksanakan sekatan pergerakan ketat seperti PKP kali pertama pada Mac tahun lalu.

“Kerajaan sepatutnya laksana PKP ketat selama dua atau tiga bulan seperti Mac tahun lepas untuk turunkan kes. Pada masa yang sama program vaksinasi dipercepatkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wong juga memberi amaran lebih banyak kedai kopi akan gulung tikar jika Pelan Pemulihan Negara gagal mencapai sasaran.

“Ramai pengusaha tidak buka kedai sepanjang PKP 3.0. Ada yang terus hentikan operasi kerana kehabisan sumber kewangan selepas tiga kali kerajaan laksana PKP.

“Kami rugi sepanjang enam bulan lepas, sekarang tambah lagi lima bulan. Kerajaan kena cepat buka ekonomi semula,” jelas Wong.

Menurutnya, sekitar 2,000 kedai kopi gulung tikar sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“Kalau pelan pemulihan yang diumumkan tidak berjaya juga sehingga November, bukan sahaja kedai kopi tetapi perniagaan lain juga akan terjejas teruk.” – 17 Jun, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen