Hala tuju Umno tunggu lepas PRU15, kata Zahid Hamidi


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Perubahan Umno tidak boleh berlaku sekarang kerana landskap politik negara akan berubah selepas PRU15, kata Zahid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2021.

PENJAJARAN baharu atau perubahan politik Umno hanya akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata perubahan itu, termasuk dengan parti mana Umno akan berkerjasama, tidak boleh berlaku sebelum pilihan raya umum akan datang kerana beliau menjangkakan landskap politik Malaysia akan berubah selepas PRU15.

“Saya yakin kalau mahu disebut hala tuju atau dinamika itu kita lihat selepas PRU15, sama ada pilihan raya dilakukan dalam tempoh terdekat, kerana cukup tempoh pada 2023.

“Saya hampir pasti akan ada sesuatu yang akan berlaku kepada Umno sebagai induk Melayu dan Islam… ketika itu akan ada Perikatan 3.0 bukan Perikatan Nasional,” katanya dalam wawancara bersama Umno Online, malam ini.

Wawancara dikendalikan Noor Azizan Abdul Majid dibuat sempena ulang tahun ke-75 Umno, yang akan diperingati esok.

Zahid menjelaskan apabila beliau melontarkan idea bahawa Umno perlu mendakap realiti politik, beliau bercakap atas keyakinan landskap politik negara akan berubah selepas PRU15 nanti.

“Bagi saya bila saya membalingkan idea bagaimana realiti politik harus didakapi atas perubahan landskap politik baharu, hakikat yang kita kena ketahui dalam PRU15 nanti, saya hampir pasti landskap politik akan berubah.

“Perubahan jangan dibuat sebelum PRU15 kerana beberapa perubahan yang akan kita lihat dukungan rakyat berbeza ketika itu,” katanya.

Antara perubahan itu katanya termasuk pola pemikiran pengundi yang tentu akan berubah dengan penyertaan dalam daftar pengundi setiap tahun sekitar setengah juta pengundi baharu yang berusia 18 tahun.

Ketika itu, amalan tradisi dalam berpolitik tidak lagi sesuai diamalkan, kata Zahid. 

“Ketika itu pola pemikiran pengundi dah berbeza. Kita tak boleh guna acuan lama atau kaedah dekati pengundi (yang lama) tapi pada waktu sama dalam proses membuat keputusan parti mana harus diberikan dominasi menjadi kerajaan bukan lagi bergantung kepada jenama, isu, dan tokoh tapi apa yang ada di dalam dulang yang mahu dihidang kepada pengundi.

“Bukan hanya lima tahun dalam pilihan raya umum tapi mereka mahu lihat super struktur dari segi melakukan penjajaran baharu bukan sahaja dalam politik,” kata Zahid.

Beliau hampir yakin akan ada sesuatu yang akan berlaku kepada Umno sebagai induk Melayu dan Islam (selepas PRU15)… ketika itu akan ada Perikatan 3.0 bukan Perikatan Nasional, katanya dalam wawancara bersama Umno Online, malam ini. – Gambar tangkap layar Facebook Umno Online, 10 Mei, 2021.

Tiada krisis kepimpinan

Sementara itu, Zahid menafikan Umno kini berhadapan krisis kepimpinan parti sebaliknya suara-suara yang tidak selari dan bercanggah dengan keputusan parti hanyalah perbezaan pendapat.

Beliau menyeru semua pihak dalam Umno untuk menghormati keputusan yang dibuat oleh badan pemutus dasar parti iaitu perhimpunan agung dan Majlis Kerja Tertinggi.

“Apabila keputusan perhimpunan agung dan Majlis Kerja Tertinggi yang sudah dipersetujui maka jangan ada sifat rumah siap pahat berbunyi. 

“Keputusan parti kena akur, tiada dakwa dakwi, sebarang perbezaan dibincangkan dalam mesyuarat,” kata Zahid. 

Namun begitu Zahid berkata beliau memaafkan mereka yang mempertikaikan pendapatnya.

“Belum terlambat (untuk) kita kembali. Saya maafkan sesiapa yang berbeza pendapat dengan saya, yang sanggah keputusan parti dan semua yang tak bersetuju dengan saya, sempena Ramadan dan 75 tahun ulang tahun Umno,” katanya.

Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di tengah kemuncak penentangan orang Melayu terhadap rancangan British untuk untuk menubuhkan Malayan Union selepas Perang Dunia Kedua.

Zahid sebelum ini didakwa mengkhianati parti selepas Umno memutuskan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 nanti.

Pengkritiknya menuduh beliau cuba merancang kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP, yang bertentangan dengan pendirian parti yang disahkan dalam perhimpunan agung Umno.

Mengenai ulang tahun Umno yang ke-75, Zahid berkata beliau tidak mahu menoleh ke belakang sebaliknya lebih suka melihat ke hadapan.

“Saya ingin melihat Umno 25 tahun akan datang, semasa merayakan 100 tahun.

“Saya mahu lihat Umno masih relevan dan bukannya melukut di tepi gantang atau jadi pembangkang. 

“Saya mahu lihat 25 tahun akan datang Umno terus kukuh menunjangi kerajaan dan menterjemahkan agenda rakyat,” katanya. – 10 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen