USAS terima RM200,000 biaya Fast Track SPM Tahfiz - Utusan Malaysia

USAS terima RM200,000 biaya Fast Track SPM Tahfiz

NORDIN Kardi (kiri) menerima serahan cek pembiayaan Program Fast Track SPM Tahfiz daripada Mohd. Nizar Sudin di USAS, Kuala Kangsar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menerima RM200,000 daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) bagi pembiayaan program Fast Track SPM Tahfiz di bawah tajaan Maybank Islamic.

Naib Canselor USAS, Tan Sri Dr. Nordin Kardi menerima cek daripada Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin pada majlis menandatangani nota persefahaman di sini semalam.

Menurut Nordin, Fast Track SPM Tahfiz berkonsepkan kelas tuisyen bagi pelajar lepasan tahfiz yang tidak berpeluang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, melalui program itu, pelajar lepasan tahfiz berpeluang menduduki SPM dalam masa 10 bulan pengajian di USAS.

“Program ini memberi peluang kepada anak-anak lepasan tahfiz yang tidak mengikuti pengajian akademik secara formal di sekolah menengah harian kerajaan untuk menduduki SPM.

“Pusat Kecemerlangan USAS atau USAS Bridging Centre yang menjalankan program ‘fast track’ SPM ini mempunyai 89 pelajar iaitu 69 orang pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan yang datang daripada pelbagai latar belakang termasuk yang kurang berkemampuan.

“Kami amat menghargai tajaan yang diberikan ini. Kumpulan pertama ini akan menduduki SPM pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu Mohd. Nizar dalam ucapannya berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial YPM dalam bidang pendidikan di seluruh negara.

“Kita perlu sentiasa bergerak ke hadapan, tanpa berundur sama sekali. Kami berharap usaha ini dapat melahirkan para tahfiz dalam pelbagai bidang di masa akan datang,” katanya.

Majlis yang sama turut menyaksikan penyerahan cek bernilai RM288,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi program Back to School YPM Negeri Perak yang akan dimanfaatkan pelajar-pelajar B40 di 24 kawasan Parlimen di negeri ini.

Program Back to School YPM ini merupakan program bantuan persekolahan yang dilaksanakan menjelang sesi persekolahan melibatkan pemberian bantuan keperluan persekolahan kepada golongan terbabit.

Program ini dijalankan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri dan memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar seluruh negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya