Pesawah dipenjara rasuah polis - Utusan Malaysia

Pesawah dipenjara rasuah polis

RUZAINI A. Halim yang dituduh merasuah pegawai polis hadir ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pesawah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini setelah mengaku bersalah memberi rasuah RM3,000 kepada seorang pegawai polis, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ruzaini A. Halim, 46, turut diperintah menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan oleh Hakim, Murtazadi Amran sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim kira-kira pukul 5 petang, 28 Februari 2018.

Suapan itu didakwa dilakukan sebagai balasan kepada seorang pegawai polis berpangkat inspektor supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Mengikut fakta kes, pegawai polis itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, telah mengetuai satu operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi melakukan serbuan di premis terlibat pada tarikh tersebut.

Serbuan dilakukan mendapati terdapat aktiviti penjualan air ketum di premis berkenaan dengan tertuduh kemudiannya menghulurkan RM3,000 untuk meminta supaya kes tersebut ‘diselesaikan’.

Pegawai polis terbabit telah memberi amaran, namun tertuduh tetap menghulurkan wang itu menyebabkan pegawai polis berkenaan terus menangkapnya kerana didakwa melakukan dua kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan rasuah.

Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohamad Fauzee Azizan mengikut 214 Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh difahamkan membayar denda tersebut.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Ruzaini dalam rayuannya memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya kerana anak-anaknya masih bersekolah selain tidak memiliki pendapatan tetap selaku pesawah.  

Mohamad Fauzee pula dalam pada itu memohon supaya hukuman setimpal dijatuhkan supaya menjadi pengajaran tidak hanya kepada tertuduh, malah masyarakat awam bahawa perbuatan memberi rasuah kepada penjawat awam merupakan satu kesalahan serius. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya