Rampas RM6.5 juta dadah dalam dua serbuan berasingan - Utusan Malaysia

Rampas RM6.5 juta dadah dalam dua serbuan berasingan

RAZARUDIN Husain (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Bukit Mertajam bermula Isnin lalu dalam sidang ahkbar di ibu pejabat polis Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang. UTSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Polis merampas sebanyak 112 kilogram (kg) syabu dan 26.9 kg ‘heroin base’ bernilai kira-kira RM6.5 juta dalam dua serbuan di sini, yang berakhir semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, seorang suspek berusia 31 tahun ditahan dalam serbuan pertama iaitu hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap sebuah kereta kira-kira pukul 2 petang, Isnin lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 72 ketulan mampat disyaki dadah jenis ‘heroin base’ seberat 26.9 kg dan 19 bungkusan plastik berisi serbuk dan ketulan kristal dipercayai syabu seberat 20 kg yang dianggarkan bernilai RM3.06 juta di dalam kereta tersebut.

“Susulan serbuan itu, satu lagi serbuan dibuat kira-kira pukul 11.30 pagi semalam di sebuah rumah yang dipercayai digunakan sebagai stor atau pusat transit di Nibong Tebal.

“Dalam serbuan berkenaan, polis merampas sebanyak 92 bungkusan plastik seperti bungkusan teh yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 95.6 kg dianggarkan bernilai RM3.45 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Razarudin berkata, pihaknya juga mengambil tindakan di Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Pelucuthakan Harta) 1988 susulan penyitaan dua buah kereta, dua buah motosikal, seutas jam serta wang tunai berjumlah RM600 dengan nilai sitaan keseluruhan RM65,000.

Sementara itu, katanya, suspek yang diuji negatif dalam ujian saringan dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah itu ditahan reman di bawah seksyen 39B ADB 1952 bermula kelmarin.

“Polis percaya jumlah dadah ini boleh digunakan oleh seramai 2,360,050 penagih dadah jika terlepas ke pasaran,” katanya yang memberitahu, sindiket itu dipercayai aktif sejak bulan lepas.

Tambah Razarudin, pihaknya masih menyiasat bagaimana dadah yang dipercayai datang dari negara jiran itu dibawa ke Malaysia sama ada melalui jalan darat, laut atau lain-lain.

“Selain itu, kita juga sedang mengesan dan mengenal pasti ahli-ahli sindiket lain yang terlibat dalam kegiatan ini untuk diheret ke muka pengadilan,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya