Kompaun RM1,500 ke atas pelajar matrikulasi disiasat, kata Dr Noor Hisham


Beberapa pelajar kolej matrikulasi di Gopeng semalam mendedahkan mereka dan rakan-rakan dikenakan kompaun oleh pegawai kesihatan yang datang untuk memeriksa kes keracunan makanan di sebuah kafe di kolej itu. – Gambar Twitter, 20 April, 2021.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengarahkan siasatan ke atas kompaun RM1,500 yang dikenakan terhadap beberapa pelajar Kolej Matrikulasi Perak kerana tidak memakai pelitup muka di kawasan kampus.

Berita kompaun itu heboh di media sosial semalam kerana jumlahnya yang tidak munasabah ke atas pelajar selain mereka yang terlibat juga sudah lima bulan terkurung di kolej sebagai langkah pencegahan Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata isu itu akan ditangani segera dan tindakan diambil secepat mungkin, selepas tular di media sosial semalam.

“Siasatan segera sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak. 

“Terima kasih atas aduan ini kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan perkara ini akan diambil tindakan secepat mungkin,” katanya di Twitter, malam tadi.

Dr Noor Hisham berkata demikian membalas komen yang ditujukan kepadanya di Twitter.

Beberapa pelajar kolej matrikulasi di Gopeng semalam mendedahkan di Twitter mereka dan rakan-rakan dikenakan kompaun oleh pegawai kesihatan yang datang untuk memeriksa kes keracunan makanan di sebuah kafe di kolej itu.

Seorang pelajar mendakwa beberapa orang rakannya dikenakan kompaun tanpa sebarang amaran atau peringatan. 

“Kena kompaun RM1,5000, kena bayar dalam masa dua minggu di Pejabat Kesihatan Kampar, kalau tidak (naik) ke mahkamah,” kata pelajar itu.

Menurut pelajar itu, mereka sudah berada di kolej sejak hampir lima bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar atau pulang bermalam sebagai antara usaha mencegah penularan pandemik.

Katanya, jumlah kompaun RM1,500 itu keterlaluan bagi pelajar yang menerima elaun bulanan RM250, malah lebih tinggi daripada gaji minimum di Malaysia.

“Di manakah keadilan? Tiada peringatan atau amaran dikeluarkan (kompaun) kepada pelajar. Terus laju saja surat saman dikeluarkan,” katanya.

Seorang lagi pelajar berkata rata-rata yang dikenakan kompaun “bukan orang senang”.

Pendedahan pelajar itu disambut oleh pengguna Twitter yang mempertikaikan tindakan pihak berkuasa kesihatan Perak. 

Mereka mempersoalkan sikap lembut dan lengah pihak berkuasa terhadap orang kenamaan yang melanggar prosedur amalan standard (SOP) mencegah Covid-19.

Sesetengah mereka turut membangkit layanan pihak berkuasa kepada selebriti Neelofa yang belum juga dikenakan tindakan biarpun selepas tiga minggu dilihat secara terbuka dan terang melanggar SOP pencegahan pandemik.

Pengacara itu didakwa melanggar SOP semasa majlis perkahwinannya baru-baru ini dan kemudian juga melanggar SOP rentas negeri berbulan madu di Langkawi.

Hasil siasatan polis kemudian mencadangkan Neelofa dan suaminya dikenakan kompaun. Pihak pendakwa raya bagaimanapun minggu lalu memulangkan kertas siasatan untuk dilengkapkan oleh pihak polis. – 20 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen