Golongan ekspatriat di Arab Saudi terpisah dengan ahli keluarga - Utusan Malaysia

Golongan ekspatriat di Arab Saudi terpisah dengan ahli keluarga

SEORANG lelaki memeluk isterinya yang baru tiba di Lapangan Antarabangsa King Khalid, Arab Saudi dari Qatar. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Umat Islam di seluruh dunia menantikan kehadiran bulan Ramadan dengan seribu satu pengharapan. 

Bulan yang disambut dengan amalan berpuasa selama sebulan itu menjadi tradisi bagi kebanyakan orang untuk berbuka bersama ahli keluarga masing-masing. 

Namun, bagi kebanyakan ekspatriat di Arab Saudi, mereka terpaksa menanggung rindu dan jiwa bagaikan terseksa kerana terpaksa menunggu ketibaan ahli keluarga yang terkandas akibat penangguhan jadual penerbangan. 

Pihak berkuasa penerbangan Arab Saudi dalam kenyataan berkata, penangguhan itu disebabkan kawalan pergerakan akibat Covid-19 yang bersambung sehingga 17 Mei depan.

KELUHAN EKSPATRIAT 

Seorang ekspatriat India yang bekerja di Jeddah, Anwar Pasha Ansari berkata, anak perempuannya Heba Anwar terkandas di India. 

“Tiada ayah dan ibu yang mahu menempuh penyeksaan ini,” luahnya kepada Arab News. 

Menurut Anwar, anaknya meninggalkan Jeddah bagi menghadiri peperiksaan akhir ijazah di New Delhi. 

Dia masih menaruh harapan untuk keluarganya berkumpul semula bagi menyambut lebaran akan datang. 

“Larangan melakukan perjalanan itu menghampakan golongan ibu bapa seperti kami yang mempunyai anak di India. 

“Lebih memeritkan apabila pelajar diminta mengosongkan kawasan asrama dan mengatur sendiri tempat tinggal mereka. Perkara ini sudah tentu menjadi mimpi ngeri kepada ibu bapa yang bekerja di luar negara,” katanya. 

Disebabkan sekatan perjalanan yang dilihat tidak berpenghujung, anaknya bercadang untuk ke Arab Saudi melalui Emiriah Arab Bersatu selepas menjalani kuarantin selama 14 hari di Dubai. 

Tambah Ansari, apabila anaknya tiba di Dubai pada Januari lalu, mereka semua bergembira kerana yakin dapat berkumpul semula. 

Namun, katanya, dengan hanya berbaki tiga hari tempoh kuarantin, sekatan perjalanan sementara dari Dubai ke Arab Saudi berkuatkuasa dan semua harapan tersebut jatuh berkecai. 

Akhirnya, Heba dipaksa pulang semula ke India dan kisah sama turut dirasai oleh ribuan orang yang terpaksa berpisah dengan anak mereka di saat wabak Covid-19 yang menguji kesabaran, ketahanan dan kesusahan berpisah sementara. 

KISAH KEDUA 

Bagi ekspatriat dari Lubnan, Raafat Aoun, penutupan ruang udara Arab Saudi memberi kesan kepada kebanyakan keluarga ekspatriat. 

Katanya, abang iparnya terpaksa melakukan perjalanan ke Beirut disebabkan hal kecemasan. 

“Sekarang dia berada dalam situasi sukar kerana terkandas lebih tiga bulan di sana, sedangkan isteri dan empat anaknya bersendirian di Jeddah. 

“Saya sentiasa memantau keadaan keluarganya serta memberikan bantuan. Namun, saya juga berdepan kesukaran semasa bulan mulia ini. Saya berharap dan berdoa penerbangan dapat disambungkan semula supaya abang ipar dapat bertemu semula keluarganya,” kongsinya. 

EKSPATRIAT PAKISTAN 

Dalam pada itu, eskpatriat dari Pakistan, Syed Faiz Ahmad berkata, dua ahli keluarganya terkandas selepas melakukan perjalanan ke negara asal mereka. 

“Salah seorang membantu ayahnya yang sakit dan terpaksa meninggalkan keluarganya di Riyadh. Sedangkan, isteri dan dua anaknya bersendirian di sini serta sentiasa menantikan kepulangan ayah mereka terutamanya semasa bulan Ramadan ini,” jelasnya.  

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya