Malaysia hadapi stagflasi, kata Najib


Ekonomi negara seakan dalam 'stagflasi' iaitu inflasi tinggi berterusan, pengangguran tinggi dan permintaan tidak stabil, katanya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 April, 2021.

MALAYSIA kini menghadapi “stagflasi” disebabkan oleh kadar inflasi tinggi, pengangguran dan ekonomi tidak stabil, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Melalui Facebook, beliau berkata ekonomi Malaysia telah mencapai tahap yang tidak diingini oleh kebanyakan negara.

“Seakan-akan ekonomi Malaysia sudah jatuh ke kategori ‘stagflasi’ pada ketika ini - iaitu inflasi tinggi yang berterusan digabungkan dengan pengangguran yang tinggi dan permintaan yang tidak stabil dalam ekonomi negara,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata pemeriksaan pada aplikasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menunjukkan harga 1kg ikan kembung kini RM24, sementara ayam berharga RM12 sekilo dan daging lembu berharga RM40 sekilo.

“Harga-harga ini tak tinggi ke? Harga ini dari aplikasi kementerian sendiri. Jadi, kenapa pula kerajaan PN (Perikatan Nasional) nak menafi?,” soalnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta minggu lalu menafikan harga ayam akan dinaikkan kepada RM10 kerana permintaan tinggi pada bulan Ramadan.

Tambah Najib, beliau telah memperingatkan PN pada Mac untuk meletakkan harga siling ketika harga minyak global jatuh bagi mengelakkan inflasi.

Beliau turut mendesak Putrajaya menghentikan sepenuhnya pemberian subsidi elektrik dan tarik harga petrol, meramalkan inflasi akan meningkat dengan kenaikan harga bahan bakar dan permintaan domestik yang lebih lemah.

Walaupun Putrajaya telah menetapkan harga siling untuk RON95 dan diesel, bagaimanapun nasihatnya mengenai subsidi elektrik tidak dilaksanakan.

“Tapi tidak didengar kerajaan PN. Akibatnya, pada bulan lepas BNM (Bank Negara Malaysia) terpaksa mengeluarkan amaran bahawa kadar inflasi akan mencecah 5% pada suku ke-2 tahun ini, iaitu tepat pada masa raya.”

Pada bulan Mac BNM berkata kadar inflasi akan melonjak di atas 5% pada suku kedua 2021 disebabkan oleh harga bahan bakar yang lebih murah berbanding suku sama tahun 2020.

Namun, ia menyatakan lonjakan akan bersifat sementara, dengan anggaran tahun ini dijangka antara 2.5% dan 4%.

Walaupun Najib bersetuju harga barang naik secara normal semasa musim perayaan, namun kenaikan ini tidak pernah setinggi ini.

“Memang ianya kebiasaan untuk harga barang naik sebelum setiap perayaan besar tapi tidak pernah naik setinggi ini - terutamanya pada ketika pendapatan orang ramai masih belum memulih dalam pandemik Covid-19 ini.

“Akibatnya, rakyat yang paling terkesan dengan kenaikan mendadak harga barang pada ketika pendapatan serta ekonomi belum memulih, kadar pengangguran masih tinggi dan penularan Covid-19 semakin mengganas semula.” – 17 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen