Modal kerja Petronas dikurangkan kepada RM40-45 bilion


Ia seiring dengan unjuran harga minyak dan prospek industri global dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Naib Presiden Kanan Liza Mustapha. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2021.

MODAL kerja (Capex) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) terus dikurangkan kepada RM40 bilion hingga RM45 bilion setahun untuk lima tahun akan datang.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Liza Mustapha berkata, sebelum ini Petronas telah menyasarkan antara RM50 bilion hingga RM60 bilion setiap tahun untuk capex tetapi telah menyemak semula jumlah itu agar seiring dengan unjuran harga minyak dan prospek industri global dalam tempoh lima tahun akan datang. 

“Petronas juga merancang untuk meningkatkan capex bagi aktiviti domestik berbanding program antarabangsa. Kami akan menambah perbelanjaan domestik kepada 55 peratus (capex), manakala program antarabangsa akan berada pada 45 peratus. Dalam peruntukan sebelum ini, perbelanjaan domestik berada pada 52 peratus dan 48 peratus untuk antarabangsa,” katanya semasa sidang media maya bagi mengumumkan keputusan kewangan kumpulan 2020 hari ini. 

Sebelum ini, capex Petronas dipotong sebanyak 22 peratus dari tahun ke tahun, sejajar dengan sasaran capex yang lebih rendah oleh kumpulan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, dengan kebanyakan perbelanjaan dihalakan kepada pelaburan huluan serta tempatan. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata syarikat akan bergerak ke arah objektif serta berdasarkan portfolionya yang memberi tumpuan kepada bahan kimia khusus, tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen. 

“Kami akan meningkatkan capex untuk tenaga boleh diperbaharui kepada sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan capex untuk tahun kewangan 2021 berbanding lima peratus sebelum ini, tetapi ia tidak bermakna kami akan mengundurkan diri daripada penerokaan kerana pengeluaran perlu terus disediakan,” katanya.

Gas dan tenaga baharu adalah medan pelaburan kedua terbesar Petronas, merangkumi 22 peratus daripada capex kumpulan, sekali gus, memberi isyarat bahawa kumpulan itu sedang mengikuti trend peralihan dalam tenaga. 

“Kami juga sedang mencatat laluan pertumbuhan bagi mendapatkan peluang baharu di tengah-tengah pecutan dalam peralihan tenaga, terutamanya daripada bidang baharu dan bukan tradisional. 

“Walaupun gas kekal sebagai sumber bahan api terpenting dan bersih, kepelbagaian tenaga boleh diperbaharui perlu diutamakan, seiring dengan usaha kumpulan dalam meningkatkan modal insannya agar memiliki kemahiran dan keupayaan yang betul,” katanya.

Petronas dalam satu kenyataan menjelaskan ia akan kekal optimistik dan sedang berusaha untuk membuktikan masa depan portfolionya dengan menceburi ruang tenaga baharu serta meneruskan inovasi dengan pelaksanaan yang lebih fokus. 

Kumpulan ini tetap yakin bahawa usaha dan tumpuannya kepada kecemerlangan komersial termasuk operasi, di samping memelihara tahap mudah tunai yang sihat, akan memastikan kemampanan perniagaannya. – Bernama, 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen