MB Kedah rosak hubungan kaum, kata MCA


MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor merosakkan keharmonian kaum dengan arahan membatalkan cuti peristiwa bagi sambutan Thaipusam di negeri itu, kata anggota gabungan parti kerajaan MCA.

Satu kenyataan biro publisiti itu menyebut, keputusan membatalkan cuti itu juga tidak logik dan tidak menghormati penganut Hindu kerana hanya perayaan besar-besaran ditegah semasa pandemik.

“Penjelasan menteri besar bahawa tiada cuti kerana tiada perayaan langsung tidak logik dan amat mengelirukan.

“Penetapan Thaipusam sebagai cuti umum adalah sebagai tanda hormat kepada penganut Hindu serta menyerlahkan semangat kepelbagaian dan inklusif rakyat Malaysia.

“Tindakan Sanusi ini tidak syak lagi telah merosakkan semangat saling menghormati serta inklusif yang telah terjalin selama ini,” kata MCA.

MCA merujuk keputusan Sanusi pada Rabu lalu mengumumkan tiada cuti umum di Kedah untuk sambutan Thaipusam pada 28 Januari disebabkan pandemik yang berlarutan pada masa ini.

Namun keputusan itu dianggap tidak logi kerana penganut Hindu masih boleh meraikan hari kebesaran itu di rumah, kata MCA.

“... (Keputusan ini) tidak logik serta tidak menghormati tradisi dan perasaan rakyat khususnya penganut agama Hindu.

“Sebenarnya, perayaan mana-mana kaum dan agama sekalipun, perlu dirai tetapi secara norma baharu seperti tidak disambut secara besar-besaran atau dalam kelompok ramai.

“Tetapi kenapa pula membatalkan cuti umum Thaipusam? Pembatalan perayaan dan pembatalan cuti umum adalah dua perkara yang jauh beza dari segi maknanya,” kata MCA.

Keputusan Sanusi itu turut mendapat kecaman satu lagi parti dalam gabungan Perikatan Nasional, MIC dan pemimpin DAP dan juga bekas perdana menteri Najib Razak.

Sanusi pada bulan lalu juga bergeser dengan parti terbabit ekoran tindakan kerajaan Kedah merobohkan kuil Hindu yang dibina tanpa kelulusan di negeri itu. – 22 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • tunggu dalil

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Marhaen Marhaen · Ulasan