Mana 150,000 komputer riba untuk murid, soal bekas timbalan menteri


Kaji selidik oleh KPM mendapati 36.9% daripada keseluruhan murid tidak mempunyai sebarang peranti untuk mengikuti pembelajaran dalam talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2021.

BILAKAH Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengagihkan 150,000 komputer riba yang diperuntukkan untuk murid miskin, seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021, soal bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata komputer riba yang dijanjikan penting untuk memastikan proses pembelajaran dalam talian semasa pandemik Covid-19 dijalankan dengan berkesan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2021 kerajaan mengumumkan seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis akan menerima komputer riba bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang RM150 juta yang akan disalurkan ke Tabung Cerdik.

“KPM mesti jelaskan kepada ibu bapa bila 150,000 komputer riba berkenaan akan diagihkan kepada pelajar,” kata Teo dalam satu kenyataan.

Kaji selidik yang dijalankan oleh KPM ke atas 670,000 ibu bapa dengan jumlah 900,000 murid antara Mac dan April tahun lalu mendapati hanya enam peratus murid mempunyai komputer peribadi, tablet (5.67%), komputer riba (9%) dan telefon pintar (46%).

Manakala 36.9% daripada keseluruhan murid dalam tinjauan itu tidak mempunyai sebarang peranti untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

Teo turut menggesa KPM membentangkan pelan pembelanjaran dalam talian yang lebih komprehensif.

Mulai esok semua murid sekolah rendah dan menengah akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan kerajaan menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penukaran Covid-19.

Selain itu, beliau mempersoalkan arahan memuat turun buku teks digital kerana tidak semua murid mempunyai peranti untuk berbuat demikian.

“Saya hargai usaha untuk memperkenalkan buku teks digital kepada ibu bapa dan murid, tetapi salinan cetat juga perlu diberi sesi sekolah bermula kerana hampir 37% murid tidak mempunyai sebarang peranti.”

Jika pun ada, murid tidak digalakkan menggunakan peranti dalam tempoh yang panjang, tambah beliau.

“Ibu bapa dan murid perlu diberi pilihan mengambil buku teks dari sekolah untuk pembelajaran dalam talian.”

“KPM perlu sedar tiada pendekatan menyeluruh yang sesuai untuk semua dan perlu mengambil kira tahap pendapatan berbeza serta jurang digital di seluruh negara.” – 19 Januari, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen