Jeffrey bebas Covid-19, dibenarkan pulang


Beliau dan isteri meninggalkan hospital hari ini selepas disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke hospital sejak 4 Januari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2021.

TIMBALAN Ketua Menteri II Sabah Dr Jeffrey Kitingan dan isteri telah discaj dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) selepas pulih daripada jangkitan Covid-19 hari ini.

Jeffrey dan Cecilia Kitingan meninggalkan hospital itu pada 1 tengah hari selepas dimasukkan ke hospital sejak 4 Januari berikutan mereka disahkan positif ujian Covid-19 pada 3 Januari.

“Saya bersyukur dengan tugas baik yang dilaksanakan oleh petugas barisan hadapan kita yang telah bekerja keras, mengorbankan masa dan tenaga mereka untuk memerangi Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.  

Jeffrey juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan yang telah merawat mereka terutama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Christina Rundi, Pengarah QEH Dr William Gotulis, Ketua Unit Penyakit Berjangkit Dr Lee Heng Gee dan kakitangan Dr Rachel serta staf hospital yang menjaga mereka sepanjang tempoh dua minggu berada di hospital itu.

Terdahulu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun yang juga jurucakap Covid-19 negeri, berkata 379 pesakit Covid-19 telah discaj hari ini. 

Jumlah kumulatif pesakit pulih Covid-19 di Sabah kini 38,989 orang. – Bernama, 16 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen