Masa untuk Pakatan satukan pembangkang, kata Mat Sabu, Guan Eng


Sudah tiba masanya seluruh blok pembangkang bersatu demi membina kekuatan bersama yang ada atas landasan perjuangan bersama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2020.

PAKATAN Harapan (PH) harus membuat satu “anjakan politik” untuk menyatukan seluruh blok pembangkang, kata dua pemimpin kanan gabungan itu, selepas undian belah bahagian yang meluluskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata ini masanya untuk seluruh blok pembangkang bersatu demi membina kekuatan bersama yang ada atas landasan perjuangan bersama.

“PH harus berdepan dengan realiti ini, perlunya suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita di kalangan ahli parlimen pembangkang yang berdiri bersama kita pada hari Selasa,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Mereka juga berpendapat PH tidak lagi perlu sibuk cuba mendapatkan sokongan daripada wakil rakyat kerajaan, yang mereka sifatkan sebagai “membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang”, untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PH seharusnya tidak membuang masa dengan ahli parlimen kerajaan oportunis, dan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan PN,” kata mereka.

Masa dan sumber yang ada, kata mereka, patut digunakan untuk mengukuhkan perjuangan bersama bagi rakyat atas dasar, antaranya, melawan rasuah, memajukan ekonomi dan menegakkan keadilan sosial. 

Mohamad dan Lim menjelaskan pakatan pembangkang harus fokus untuk bertanding sebagai sebuah pasukan dalam pilihan raya umum akan datang, dan usaha ke arah itu memerlukan anjakan politik baharu.

Pada Selasa, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 lulus dengan 111 ahli Dewan Rakyat menyokong dan 108 menentang. 

Seorang, iaitu Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, tidak hadir malah tidak terlibat sejak awal kerana mempertikaikan keabsahan kerajaan Muhyiddin Yassin.

Mohamad dan Lim berkata episod Belanjawan 2021 seharusnya mengajar PH bahawa blok pembangkang bukannya 92 kerusi, iaitu yang diwakili oleh tiga parti dalam PH, tetapi seluruh 108 yang tidak menyokong kerajaan Muhyiddin.

“Pemimpin PH mesti mengetepikan bebanan lampau supaya PH dapat berkembang menjadi PH Plus dengan kekuatan hebat 108 ahli Parlimen. 

“Dengan 108 ahli Parlimen PH Plus sebagai pakatan yang mantap, apa-apa sahaja kemungkinan boleh berlaku kelak,” kata mereka.

Blok PH di Dewan Rakyat dibentuk oleh PKR dengan 38 kerusi, DAP 42, dan Amanah 11. Blok pembangkang juga disertai oleh Parti Warisan Sabah dengan 8 kerusi, sementara empat wakil rakyat bebas dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan Dr Mahathir Mohamad yang menunggu pendaftaran. Upko ada satu kerusi, Parti Sarawak Bersatu dua kerusi, dan dua lagi bebas.

Blok pembangkang bercelaru selepas Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR dan ketua pembangkang berselisih faham dengan Dr Mahathir, bekas pengerusi gabungan.

Dr Mahathir berkali-kali sebelum ini membuat kenyataan bahawa Anwar tidak layak untuk jadi perdana menteri, ketika gabungan pembangkang berhadapan dengan kerajaan Muhyiddin yang hanya memiliki majoriti tipis – paling tipis dalam sejarah Malaysia sejak merdeka.

Semasa Belanjawan 2021 diundi di peringkat dasar pada 26 November, Dr Mahathir adalah antara 13 ahli parlimen yang bangun mendesak undian belah bahagian sementara wakil rakyat pembangkang lain duduk mengikut arahan Anwar yang dikeluarkan pada saat akhir.

Anwar selepas itu menjelaskan ia sebahagian daripada strategi untuk menolak cadangan kerajaan pada peringkat jawatankuasa dan bacaan ketiga.

Bagaimanapun peruntukan bagi semua kementerian lulus di peringkat jawatankuasa, dengan 18 lulus secara undian suara dan sembilan diundi belah bahagian. – 17 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen