Ku Li cadang bentuk kerajaan tapi tak berlaku, kata Dr Mahathir


Tengku Razaleigh Tengku Hamzah bercadang bentuk kerajaan tapi tak jadi, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

DR Mahathir Mohamad malam ini mendedahkan yang beliau dimaklumkan Tengku Razaleigh Tengku Hamzah pernah berhasrat membentuk kerajaan, tetapi usaha itu gagal.

Dalam wawancara bersama Astro Awani malam ini, bekas perdana menteri itu juga berkata Tengku Razaleigh percaya beliau boleh mendapatkan sokongan wakil rakyat kerajaan- Perikatan Nasional- untuk membentuk pentadbiran baharu.

“Dia (Tengku Razaleigh) adalah di sebelah kerajaan. Dia mempunyai cadangan kononnya untuk kita tukar kerajaan.

“Dia berpendapat bahawa dia boleh cari cukup orang daripada pihak kerajaan untuk keluar daripada kerajaan. Tetapi benda itu tak berlaku,” katanya.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan yang Tengku Razaleigh turut serta bersaing dalam perebutan kuasa persekutuan, memetik sumber yang mendakwa beliau bertemu pemimpin Umno, Amanah, DAP, dan Warisan untuk mendapatkan sokongan. 

Beliau dilaporkan turut mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad. 

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga memutuskan untuk tidak menyertai perbahasan Belanjawan 2021 kerana mempertikaikan keabsahan pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Dalam sepucuk surat bertarikh 19 November yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, beliau juga mengkritik tindakan Azhar yang tidak membenarkan usul tidak percaya kepada Muhyiddin dibentangkan.

“Oleh kerana kesahihan kerajaan kini masih belum ditentukan, saya terikat dengan suara hati dan sumpah jawatan yang telah saya lafazkan. Maka itu saya tidak dapat mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan ini,” tulisnya.

Tengku Razaleigh kembali jadi tumpuan politik negara apabila beliau dipanggil menghadap Yang Di Pertuan Agong atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen paling lama berkhidmat ketika wujud usaha Perikatan Nasional memohon perkenan diraja untuk perisytiharan darurat, walaupun ditolak Agong.

Setiausaha Politik Tengku Razaleigh Mohd Lokman Ghani berkata pertemuan itu adalah atas perkenan Al-Sultan Abdullah untuk mendapatkan pandangan daripada Tengku Razaleigh mengenai situasi semasa politik negara.

“Tengku Razaleigh dipanggil menghadap atas kapasiti individu yang paling berpengalaman, paling matang, lama dalam politik dan individu yang pernah bekerja dengan semua perdana menteri,” katanya. – 25 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen