Umno mahu Parlimen bubar selepas Covid-19 reda, kata Zahid


Mohd Farhan Darwis

Ahli Majlis Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat di PWTC malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Oktober, 2020.

SEMUA anggota Jemaah Menteri dari Umno akan kekal buat masa ini dalam kerajaan tetapi Umno mahu Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum selepas pandemik Covid-19 reda, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno berkata Umno parti yang mengutamakan agenda rakyat dan kerana itu menterinya akan kekal dalam kerajaan.

“Semua anggota Kabinet yang mewakili Umno terus kekal dalam kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.

“Umno memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan Kerajaan yang stabil dengan mengadakan pilihan raya umum setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum,” katanya dalam satu kenyataan bertulis.

Kenyataan itu diedarkan kepada media selepas lebih tiga jam Majlis Tertinggi Umno bermesyuarat malam ini di ibu pejabat parti di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur.

Mesyuarat kedua ini berlangsung di tengah spekulasi Umno mahu membincangkan calon timbalan perdana menteri untuk dicadangkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 12.30 malam tadi tidak menyentuh isu tersebut.

Ini kali kedua MT Umno bermesyuarat minggu ini, tiga hari selepas ia memutuskan menyokong nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengendurkan ketegangan politik dan mengumumkan dukungannya kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Pemimpin Umno yang ditemui sejurus tamat pertemuan malam tadi juga enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Umno juga akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan parti itu berhubung titah Yang di-Pertuan Agong, baru-baru ini.

“Sekiranya pendirian Umno dalam perkara ini masih dipersoal, Umno tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi untuk menjaga kedaulatan Raja-raja dan kepentingan rakyat,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, parti itu akan terus menjunjung titah untuk terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan keluhuran undang-undang dan menghormati semangat yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Dan tidak membawa negara ke dalam darurat sebagaimana yang dicadangkan pihak kerajaan,” katanya, dalam kenyataan tersebut.

Umno juga katanya berpendirian Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat harus diluluskan.

“Umno akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid, Umno juga mahu belanjawan itu memberi pelanjutan tempoh moratorium serta bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat wabak Covid-19.

Ia juga mahu kerajaan memberi bantuan kepada belia yang mengganggur, bayaran khas kepada petugas barisan hadapan, dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara. – 30 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen