MB Selangor, Adun Kedah juga akan disiasat, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani memberi jaminan tiada sesiapa terkecuali daripada siasatan dan tindakan termasuk ahli politik dan pemimpin kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 Oktober, 2020.

POLIS akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang didakwa melanggar perintah kuarantin termasuk ke atas Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Adun Kedah Azman Nasrudin.

Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani memberi jaminan tiada sesiapa terkecuali daripada siasatan dan tindakan termasuk ahli politik dan pemimpin kerajaan.

Ketika ditanya, beliau berkata polis bagaimanapun belum menerima aduan ke atas Amirudin, yang didapati keluar rumah pada Ahad lalu sewaktu menjalani kuarantin.

“Berhubung menteri besar Selangor, kita juga akan teliti perkara tersebut selepas ia ditular dalam media sosial, jika ada keperluan untuk buka kertas siasatan.

“Kita akan buka kertas siasatan nanti, setakat ini belum terima apa-apa laporan tersebut,” katanya dalam sidang media di Maktab Polis Cheras, hari ini.

Menurut beliau, polis dimaklumkan Amirudin sudah membuat kenyatan mohon maaf dan akan meneliti perkara itu untuk tindakan susulan.

Ketika ditanya mengenai Adun Lunas, Acryl berkata, polis akan lebih tegas kerana kadar jangkitan Covid-19 kini semakin kritikal.

“Kita akan pastikan berusaha memutuskan penularan dengan mengambil apa juga tindakan yang kami perlu ambil,” katanya.

Azman menjadi sasaran kritikan di media sosial kerana tidak menjalani kuarantin selepas didapati positif Covid-19 selepas pulang berkempen untuk pilihan raya di Sabah.

Isterinya, seorang guru yang turut bersama beliau ke Sabah kemudiannya kembali bertugas di Kedah, dan seterusnya juga didapati positif Covid-19.

Ekoran itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus di Penaga, di Kepala Batas terpaksa ditutup dan kira-kira 600 murid di sekolah berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19.

Kesemuanya kini diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian. 

Amirudin pada 4 Oktober mengumumkan beliau keluar rumah untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang menjejaskan lebih 300,000 akaun pengguna di empat daerah negeri itu.

Dalam pengumuman di media sosial, Adun Sungai Tua itu berkata beliau memakai pelitup muka dan peralatan perlindungan sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau yang menjalani kuarantin kendiri selepas pulang berkempen di Sabah juga berkata kedua-dua ujian saringannya didapati negatif Covid-19.

Kesemua individu yang tiba dari Sabah diwajibkan menjalani saringan bermula 27 September, sehari selepas pilihan raya negeri berlangsung.

Individu yang didapati positif diwajibkan menerima rawatan dan menjalani kuarantin manakala yang diuji negatif disaran menjalani kuarantin kendiri.

Kelonggaran untuk tidak mewajibkan kuarantin ke atas kesemua individu yang kembali dari Sabah itu dikaitkan dengan penularan semula kes di seluruh negara.

Sehingga semalam, Sabah mencatat 219 daripada keseluruhan 691 kes baharu. Kes baharu paling banyak dikesan di Kedah dengan 397 kes melibatkan dua kluster. – 7 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Bagaiman dengan kes Menteri ke Turkey? Kami tak faham apa yang perlu disiasat dan disiasat tak habis habis. Beliau tidak mematuhi perintah kuarantin - adakah ini dinafikan? Jika dah pasti tidak mematuhi perintah kuarantin, nak siasat apa lagi? Adakah maksud istilah "perintah kuarantin" berlainan bagi orang besar dan orang kecil? Mengapa Menteri itu tidak harus dipenjarakan dan dibuang jawatan?

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan

  • "Ketika ditanya, beliau berkata polis bagaimanapun belum menerima aduan ke atas Amirudin, yang didapati keluar rumah pada Ahad lalu sewaktu menjalani kuarantin".

    Kalau pihak polis sudha tahu tentang Amirudin keluar rumah pada Ahad lalu sewaktu menjalani kuarantin, tiada orang awam perlu buat report untuk pihak polis membuka kertas siasatan. Pihak polis berkuasa untuk mulakan penyiasatan berdasarkan laporan berita yang merupakan FIR (First Information Report). Anggota polis yang bertugas untuk "monitor" berita dalam media cetak/elektronik yang harus membuat repot. Maka jangan mengelirukan orang ramai dengan mengatakan "belum menerima aduan". Perkara perlanggaran undang-undang sudah ada dalam pengetahuan polis dan pihak polis patutu bertindak secara pro-aktif dan jalankan tugas tanpa menunggu laporan dari orang awam. Tiada undang-undang yang mengatakan bahawa pihak polis tidak boleh bertindak jika tiada laporan dari orang awam!

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan