Kebakaran tahfiz Kg Datuk Keramat belum jadi pengajaran, kata badan Islam


Zaim Ibrahim

Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur tiga tahun lalu meragut 23 nyawa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Ogos, 2020.

INSIDEN kebakaran yang membunuh 23 pelajar dan guru di sebuah sekolah tahfiz di Kuala Lumpur hampir tiga tahun hampir tidak memberi pengajaran sehingga masih ada pusat tahfiz yang mengabaikan aspek keselamatan, kata beberapa badan masyarakat Islam.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight peristiwa hitam itu sepatutnya sudah cukup untuk memberi kesedaran kepada penguasaha pusat tahfiz agar mengambil serius peraturan keselamatan demi melindungi nyawa pelajar.

Dua insiden sekolah tahfiz terbakar minggu ini membayangkan peraturan keselamatan itu masih belum begitu dipatuhi dengan sempurna oleh pihak pengurusan, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Setakat 2019, terdapat 1,030 pusat tahfiz dan 200 sekolah pondok yang berdaftar di seluruh negara.

“Walaupun sekolah berkenaan ada kekangan kewangan akan tetapi pihak pengurusan sekolah tidak boleh berkompromi dengan soal keselamatan.

“Jika jelas tidak dapat memenuhi syarat keselamatan sekolah sewajarnya ditangguh dahulu operasi sekolah sehingga semua isu keselamatan sekolah diatasi dengan sempurna,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Mohd Azmi mengulas kebakaran dua sekolah tahfiz iaitu di Seri Iskandar, Perak pada 30 Julai dan di Banting, Selangor pada 4 Ogos lalu. Dua insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan korban nyawa.

Dalam kejadian di Perak, 115 pelajar lelaki Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Lambor Kanan sempat menyelamatkan diri selepas api marak api marak dari bahagian bawah bangunan stor di asrama lama, selepas tengah malam.

Kejadian itu mengakibatkan, 80% daripada asrama lama serta stor musnah serta menjejaskan sebahagian dewan dan bilik kuliah di blok berhampiran.

Enam hari selepas itu, tingkat empat bangunan asrama perempuan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) di Banting terbakar pada awal pagi menjelang waktu Subuh. Seramai 135 pelajar perempuan terselamat.

Punca kedua-dua kebakaran masih disiasat.

Setakat 2019, terdapat 1,030 pusat tahfiz dan 200 sekolah pondok yang berdaftar di seluruh negara.

Elak kerenah birokrasi

Mohd Azmi berharap kerajaan persekutuan dan negeri dapat bekerjasama untuk meningkatkan mutu operasi di sekolah tahfiz, apatah lagi ketika sudah ada usaha untuk menyelaraskan pengurusannya.

“Banyak syor yang telah diutarakan. Soalnya, perlaksanaan belum cukup lancar,” katanya.

Mohd Azmi juga meminta agensi kerajaan tidak merumitkan urusan birokrasi sebaliknya membantu usaha meningkatkan tahap keselamatan di sekolah tahfiz.

“Jika kerenah birokrasi terlalu rumit, isu ini tidak akan selesai. 

“Jika dikira terlalu banyak agensi Islam baik di persekutuan mahupun negeri. Tidak harus timbul soal tidak cukup dana untuk membantu sekolah tahfiz.

“Apa yang perlu ialah penyelarasan dan kerjasama yang padu dan cekap antara agensi dan pihak sekolah,” jelasnya.

Buat pemeriksaan berkala

Dalam pada itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa pihak berkuasa tempatan dan bomba untuk membuat pemeriksaan pematuhan piawaian keselamatan di sekolah tahfiz dari masa ke masa.

“Kena periksa adakah mereka ada surat kebenaran atau surat sokongan yang membuktikan bangunan mereka selamat.

“Ini aspek penting yang perlu dipastikan ada sebelum mereka boleh dibenarkan beroperasi,” kata presidennya Mohd Alif Md Noor.

Beliau kesal sehingga hari ini masih ada berita mengenai sekolah tahfiz terbakar sedangkan Malaysia pernah digemparkan dua peristiwa kebakaran besar yang meragut nyawa di sekolah tahfiz.

Mohd Alif merujuk pada insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September 2017, dan kebakaran besar di Madrasah Taufikiah Khairiah Al Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Gurun, Kedah pada 22 September 1989.

“Selama mana pihak yang bertanggungjawab mahu membiarkan perkara ini terus berlaku?

“Saya yakin kerajaan dan pihak berkuasa ambil langkah pencegahan namun sekiranya pusat tahfiz tidak ambil berat langkah-langkah keselamatan, ia akan terus menjadi masalah yang besar,” katanya.

Insiden kebakaran di sebuah sekolah tahfiz di Kuala Lumpur hampir tiga tahun lalu tidak memberi pengajaran sehingga masih ada pusat tahfiz yang mengabaikan aspek keselamatan. – Gambar fail The Malaysian Insight.

Dalam kejadian di Kampung Datuk Keramat, 23 pelajar dan guru terbunuh dalam kebakaran yang dipercayai disebabkan oleh perbuatan khianat.

Kes itu sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan seorang tertuduh sedang membela diri.

Kebakaran Pondok Pa Ya pula membunuh 27 pelajar perempuan dan membawa kepada penubuhan suruhanjaya siasatan diraja mengenai keselamatan sekolah agama.

Susulan kebakaran di Kampung Datuk Keramat tiga tahun lalu, pelbagai pihak ketika itu menggesa kerajaan bertegas menguatkuasakan semua syor suruhanjaya siasatan diraja itu.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Mohd Zai Mustafa berharap kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat menyalurkan bantuan kewangan dan nasihat untuk pihak pengurusan sekolah tahfiz meningkatkan tahap keselamatan di sekolah mereka.

“Banyak lagi pusat tahfiz yang daif dan kurang segala kemudahan untuk mematuhi aspek keselamatan kebakaran.

“Jika mereka perlu bantuan kewangan, ia perlu disalurkan segera.

“Tindakan undang-undang boleh dilaksanakan jika segala bantuan nasihat telah dibuat,” katanya. – 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen