Masih boleh keluar masuk di Taman Langat, kata Ismail Sabri


Kalidevi Mogan Kumarappa

Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni dikenakan perintah kawalan pergerakan pentadbiran (PKPP), penduduk masih boleh keluar masuk tetapi kawat duri dipasang di kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Jun, 2020.

ORANG ramai masih boleh keluar masuk di dua kawasan di Bukit Changgang, Kuala Langat yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, bermula malam tadi, kata menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan tuidak sama dengan perintah kawalan diperketatkan seperti yang dikenakan di kawasan Masjid India di Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang, sebelum ini.

“Jika PKPD di kawasan lain kita tidak benarkan orang ramai untuk keluar masuk tetapi di kawasan ini, kita benarkan. Namun, mereka iaitu 100 peratus perlu menjalani saringan kesihatan, termasuk ‘swab test’.

“Sama juga dengan PKPD di kawasan lain, ia juga turut dipagar dengan kawat berduri,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dua kawasan di Bukit Changgang itu ialah Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni

Dua kawasan taman itu yang merangkumi tiga blok bangunan dua tingkat dipasang kawat duri bermula malam semalam.

Pemeriksaan mendapati dua kawasan tersebut berjiran dan merangkumi blok pangsapuri dan rumah kedai.

Sebelum ini, beberapa kawasan yang ditempatkan di bawah PKPD termasuk Menara City One di sepanjang Jalan Munshi Abdullah, dua bangunan di Masjid India, Simpang Renggam, Hulu Langat dan Old Town Petaling Jaya susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Malaysia menguatkuasa PKP seluruh negara bermula 18 Mac lalu sebelum dilonggarkan pada 4 Mei. Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dijangka tamat pada 9 Jun ini.

Pihak berkuasa, bagaimanapun, berkata walaupun selepas PKPB ditarik balik, kawasan tertentu yang merekodkan kes jangkitan Covid-19 akan dikenakan PKPP bagi memudahkan ujian saringan dibuat ke atas semua penduduk kawasan berkenaan. – 3 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen