Muhyiddin sudah buat keputusan Bersatu keluar Pakatan, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

MUHYIDDIN Yassin sudah merancang untuk membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) walaupun tanpa persetujuan saya, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata Muhyiddin dan pemimpin Umno, PAS, Warisan Sabah, PKR dan GPS bertemu di rumahnya pada 23 Februari selepas mesyuarat majlis tertinggi Bersatu sebelah paginya.

“Selepas pemimpin parti-parti ini bertemu di rumah saya, mereka pergi ke Istana Negara untuk menghadap Agong.

“Tetapi saya tidak pergi kerana saya mahu berfikir lagi tentang keputusan yang dibuat oleh majlis tertinggi Bersatu,” kata negarawan berusia 94 tahun itu menerusi satu video yang dikeluarkan hari ini.

Dr Mahathir berkata walaupun Muhyiddin bersetuju untuk memberikan tempoh seminggu kepadanya membuat keputusan pada mesyuarat majlis tertinggi sebelum itu, kumpulan berkenaan sudah pun merancang untuk keluar PH.

Beliau membuat kenyataan sebagai mengulas tentang beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan pertemuan pemimpin parti-parti Melayu di rumahnya.

Antara yang hadir ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Warisan Shafie Apdal, Abang Johari Openg daripada GPS dan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

“Pertemuan itu diadakan supaya kita semua boleh pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara ia dicadangkan supaya Bersatu keluar PH.

“Tetapi pada mesyuarat majlis tertinggi Bersatu, saya minta lebih masa untuk mempertimbangkannya kerana ia perkara yang serius. Akhirnya majlis tertinggi setuju beri saya lebih masa dan Muhyiddin beri seminggu untuk saya buat keputusan.

“Tetapi mereka sudah merancang untuk Bersatu keluar PH,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan hari ini untuk mengulas gambar yang tular di media sosial mengenai pertemuan tersebut.

Pertemuan itu berlangsung pada 23 Februari, yang memang sudah ditetapkan dalam jadual hariannya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada pagi tersebut, kata Dr Mahathir.

Mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari itulah yang menjadi titik mula perpecahan dalam parti yang kini terbelah antara kumpulan yang menyokong Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Zahid menafikan dakwaan beliau menyerahkan dokumen mengenai kes mahkamahnya kepada Dr Mahathir pada pertemuan itu.

Dokumen yang dilihat sedang diteliti oleh Dr Mahathir dalam gambar itu katanya adalah akuan bersumpah ahli Parlimen mengenai sokongan mereka untuk membentuk kerajaan baharu.

Umno pada ketika itu memberi dukungan kepada Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri namun gabungan baharu itu tidak akan disertai DAP, Amanah dan wakil rakyat yang menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Gambar yang tular di media sosial adalah perjumpaan presiden parti-parti politik untuk mencadangkan agar Dr Mahathir mewujudkan Kerajaan Perpaduan tanpa DAP, PKR (Anwar) dan Amanah.

“Itulah titik persamaan persetujuan bagi memulakan perbincangan namun sokongan ditarik balik apabila Dr Mahathir pada Selasa mencadangkan Kerajaan Perpaduan semua parti yang melanggar persetujuan awal,” kata Zahid dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad lalu.

Sehari selepas pertemuan di kediaman Dr Mahathir itu, Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH sementara pengikut Azmin keluar dari PKR, menyebabkan PH runtuh. Dr Mahathir juga letak jawatan perdana menteri pada hari itu.

Minggu lalu, Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen Bersatu yang tidak menyokong Muhyiddin dikeluarkan surat pemberhentian keahlian parti.

Mereka mempertikaikan tindakan tersebut yang disifatkan bertentangan dengan perlembagaan Bersatu. – 2 Jun 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen