Kluster baharu dikesan di kalangan pekerja syarikat pembersihan


Ragananthini Vethasalam

Selepas mencatatkan rekod rendah iaitu 10 kes baharu Covid-19 semalam, negara hari ini menyaksikan peningkatan sebanyak 103, termasuk jangkitan kluster baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2020.

KLUSTER baharu koronavirus dikesan, yang melibatkan 24 jangkitan di kalangan pekerja syarikat pembersihan, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata kesemua mereka adalah warga Bangladesh.

“Daripada 24 kes dalam kluster ini, 20 tinggal di asrama di Kuala Langat, Selangor. Empat tinggal di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan.

“Mereka kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya.

Sebanyak 150 pekerja asing dengan syarikat itu diperiksa berhubung virus, dan baki 126 mempunyai keputusan negatif.

Para pekerja dihantar oleh majikan mereka untuk menjalani ujian di klinik swasta.

Noor Hisham memuji syarikat kerana “mengambil inisiatif menyaring pekerja mereka"dan berkata sedang menyiasat punca jangkitan kerana semua individu yang positif tidak bergejala.

Katanya, pengesanan kontak dan pemeriksaan di tempat penginapan pekerja akan diteruskan, dengan 428 kontak rapat sudah dikenal pasti.

Selepas mencatatkan rekod rendah iaitu 10 kes baharu semalam, hari ini menyaksikan peningkatan sebanyak 103, termasuk jangkitan kluster baharu.

Malaysia Airports Holdings Bhd awal hari ini memberitahu The Malaysian Insight bahawa 151 kakitangan pembersihan kontrak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sudah menjalani ujian Covid-19.

“Sebanyak 151 pekerja menjalani pemeriksaan. Kami belum mendapat keputusan daripada Kementerian Kesihatan.”

Pengendali lapangan terbang itu diminta untuk mengesahkan mesej yang dikongsi di WhatsApp yang mendakwa 24 pekerja Bangladesh di terminal utama KLIA diuji positif penyakit ini. – 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen