Bersatu akan pecat Muhyiddin, kata Dr Mahathir


Diyana Ibrahim Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata proses pemecatan Muhyiddin Yassin akan dibuat dalam mesyuarat MPT yang dihadiri oleh semua anggotanya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Mei, 2020.

BERSATU akan memecat presiden parti Muhyiddin Yassin tetapi ia akan dibuat mengikut proses yang betul, kata Dr Mahathir Mohamad, ketika kemelut kepimpinan parti itu memuncak susulan langkah politik lebih dua bulan lalu melibatkan kerjasama parti dengan Umno.

Proses pemecatan Muhyiddin akan dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dihadiri oleh semua anggotanya, kata Dr Mahathir yang menegaskan sehingga hari ini beliau masih pengerusi parti dan masih juga ahli parti yang sah.

“Kita akan pecat dia, tetapi kalau kita hendak buat, kita akan buat dengan cara yang betul dengan semua anggota MPT terlibat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.

Dr Mahathir awal petang tadi muncul di ibu pejabat Bersatu untuk bertemu dengan setiausaha kerja parti Muhammad Suhaimi Yahya yang mengeluarkan surat pemberhentiannya daripada parti semalam.

Surat sama juga dikeluarkan terhadap empat ahli Parlimen Bersatu iaitu Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun); Ketua Sayap Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Maszlee Malik (Simpang Renggam); dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Alasannya, kelima-lima mereka tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin yang juga presiden Bersatu. Mereka juga duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

 

Mukhriz dan Syed Saddiq hadir sama pada sidang media Dr Mahathir.

Suhaimi malam tadi dipecat oleh Marzuki Yahya, yang terus menjalankan tugas sebagai setiausaha agung walaupun digantikan oleh Hamzah Zainuddin pada Mac lalu. 

Bersatu terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan (PH), yang didakwa oleh Dr Mahathir dan pendukungnya dibuat tanpa keputusan MPT sebagai badan penentu dasar parti.

Bersatu kini membentuk gabungan atas nama PN bersama Umno dan Barisan Nasional (BN), serta PAS, dan disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti kecil di Sabah.

Pada 19 Mei, 27 pimpinan kanan Bersatu terdiri dari anggota MPT dan pengerusi negeri menegaskan mereka menyokong tindakan Muhyiddin membawa parti keluar PH dan membentuk gabungan baharu sebagai kerajaan. – 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen