Orang Asli tidak terpinggir semasa PKP, kata Ismail Sabri


Noel Achariam

Bermula 2 hingga 10 April, Jakoa memberi bantuan kepada 49,670 isi rumah Orang Asli di seluruh negara di 853 kampung dengan jumlah keseluruhan RM5 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2020.

PUTRAJAYA menolkak dakwaan yang Orang Asli di seluruh negara tidak mendapat bantuan semasa langkah pengurungan (lockdown) bagi memerangi Covid-19. 

Menteri kanan Ismail Sabri Yaakob berkata Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) memberi bantuan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula.

“Dari 2 hingga 10 April, Jakoa memberi bantuan kepada 49,670 isi rumah Orang Asli di seluruh negara di 853 kampung dengan jumlah keseluruhan RM5 juta.

“Pada fasa kedua (pengagihan) bermula 10 April, bantuan akan diberikan kepada 55,000 isi rumah, berjumlah RM6 juta,” katanya semasa taklimat harian mengenai isu keselamatan dan perkara bukan kesihatan berkaitan Covid-19.

The Malaysian Insight melaporkan sebelum ini, usaha Jakoa untuk mengagihkan bantuan kepada pelbagai suku di seluruh negara berdepan masalah pengangkutan dan kekurangan kakitangan.

Ketua Pengarah Jakoa Prof Dr Juli Edo berkata jabatan itu menghadapi masalah logistik ketika cuba menyampaikan bantuan kepada 55,000 isi rumah Orang Asli.

Ia juga melaporkan suku Orang Asli di Perak, Pahang dan Kelantan mengalami kekurangan bekalan makanan kerana PKP.

Ismail Sabri berkata mereka yang belum mendapat bantuan perlu membuat laporan kepada pemimpin masyarakat masing-masing.

“Ada laporan media sosial yang bekalan makanan belum tiba.

“Disarabkan agar semua isu tersebut dilaporkan kepada pemimpin masyarakat tempatan, seperti wakil rakyat dan ketua kampung.

“Kemudian para pemimpin mereka boleh memanjangkan masalah kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”

PKP selama sebulan bermula pada 18 Mac dan berakhir pada 14 April bertujuan membendung penyebaran Covid-19.

Bagaimanapun, Putrajaya akan membuat keputusan sama ada arahan itu perlu dilanjutkan.

Koronavirus setakat ini menjangkiti 4,119 rakyat Malaysia dan menyebabkan 65 kematian. – 9 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen